Sunday, July 18, 2010

Tipu Daya orang-orang Quraisy Terhadap Nabi Muhammad SAW Pada Perjanjian Darrun Nadwah

Allah berfirman
Ertinya: " Ketika menipu daya tehadapmu (Muhammad) oleh orang-orang kafir supaya mereka menahanmu atau membunuhmu atau menghalaumu. Mereka membuat tipu daya, maka Allah membuat tipu daya. Dan Allahlah yang sebaik-baik membuat tipu daya ".

Telah masyhurlah di kalangan orang-orang Arab Makkah tentang satu rumah yang diberi nama Darrun Nadwah. Apabila mereka bermaksud untuk memutuskan satu perkara, maka mereka berkumpul di rumah yang disebut Darrun Nadwah itu. Satu ketika orang-orang Musyrik Makkah bermaksud untuk merancang satu tipu daya terhadap baginda Nabi SAW. Oleh kerananya mereka berkumpul di Darrun Nadwah seramai lima orang. Adapun mereka yang lima orang itu adalah : Utbah, Syaibah, Abu Jahal, Abul Bakhtaro dan 'Ash bin Wail.

Saklabii rahmatullah 'alaih berkata: " Orang-orang yang mengikuti seminar di Darrun Nadwah itu seramai dua belas orang ".

Apabila mereka hendakmemulakan perbincangan , ketika itu datanglah Iblis laknatullah 'alaih yang merupakan dirinya seperti orang yang sudah sangat tua dan di tangannya ada sebilah tongkat. Melihat ada seorang tua yang akan mengikuti seminar mereka itu, lalu Abu Jahal berkata: " Kami berkumpul untuk merundingkan satu perkara yang rahsia, oleh kerana itu pergilah kamu, jangan ikut serta pada seminar kami ".

Kata Iblis : " Sesungguhnya aku ini adalah seorang tua daripada negeri Nejd. Aku telah banyak melihat perkembangan zaman. Dan aku telah banyak melakukan macam-macam perkara. Aku sangat mengetahui mana yang baik dan mana yang sesuai serta aku sangat mahir mentafsirkan perkara-perkara yang pelik. Oleh sebab itu izinkanlah daku masuk untuk mengikuti seminar bersama-sama kamu di Darun Nadwah ini. Kiranya aku dapat memberikan petunjuk tentang takwilnya serta aku dapat memilihkan mana yang paling baik daripada sekalian pendapat kamu nantinya ".

Mendengar kata-kata Iblis itu, lalu merekapun tertarik dan membenarkan Iblis untuk bersama-sama mereka dalam majlis itu. Setelah itu mereka memulakan perbincangan. Orang yang mula-mula mengajukan pendapat adalah Utbah, ia berkata : " Sesungguhnya kematian itu adalah pasti akan datang, maka hendaklah kamu sekalian bersabar sehingga Allah menentukan kematiannya, setelah itu barulah kita dapat selamatkan daripada kejahatannya (Dakwahnya) ". Maksudnya dakwah Nabi Muhammad yang mereka anggap sebagai kejahatan.

Pendapat Utbah dengan segera disanggah oleh iblis, " Sia-sialah engkau, pendapatmu sedikitpun tidak membawakan kebaikan, pendapat yang demikian itu adalah seperti pendapat orang-orang penggembala kambing dan keldai. JIka kamu bersabar sehinggga Muhammad itu mati, nescayalah agama yang dibawanya tersebar luas ke seluruh alam daripada masyriq hingga ke maghrib. Dan akan terbentuklah kekuatan bala tentera yang besar di bawah kekuasaannya, maka mereka akan memerangi kamu sehinggalah kamu sekalian menjadi binasa ".

Nasihat iblis itu diterima baik dan sekalian yang hadir pada seminar itu membenarkan kata-katanya. Setelah itu Syaibah pula mengajukan pendapat seraya berkata: " Daku cadangkan supaya kita penjarakan Muhammad dalam satu rumah tahanan dan kunci rapat-rapat pintunya sehinggalah ia mati kerana kelaparan dan kehausan ".

Pendapat ini juga disanggah oleh Iblis laknatullah 'alaih seraya berkata: " Pendapat ini juga tidak ada kebaikannya, kerana sesungguhnya Bani Hashim, mereka akan bersatu untuk mengambil Muhammad daripada tangan kamu , dan mereka akan melindunginya. Dengan demikian maka akn terjadilah permusuhan yang hebat di antara kamu dengan mereka ".

Kata-kata iblis itu juga diterima dengan baik dan mereka membenarkannya serta mengkagumi kecerdikan iblis itu. Setelah itu berkata pula 'Ash bin Wail mengajukan pendapatnya, ia berkata: " Kita ikat Muhammad di atas unta, setelah itu kita halau unta tersebut ke padang apsir yang tidak berpenghuni (sunyi) sehinggalah ia binasa di atas unta ".

Kata iblis pula: "Pendapat ini juga tidak bagus. Kerana Muhammad adalah orang yang berjasad kuat , bersih bercahaya wajahnya, dan fasih ucapannya serta pandai berkata-kata. Jika ia bertemu dengan seseorang di perjalanan, maka ia akan menunjukkan kepada negeri kamu yang telah menganiayanya. Tiap orang yang mendengarkan kata-katanya, pasti mereka membenarkannya. Dengan demikian ia akan mengumpulkan satu kumpulan yang besar untuk memerangi kamu ".

Mendengar keterangan iblis itu, merekapun membenarkan kata-katanya. Selepas itu berdiri pula Abu Jahal laknatullah 'alaih untuk mengajukan pendapatnya seraya berkata: " Menurut pendapatku, ada baiknya kita kumpulkan sekalian pemuda-pemuda dari semua kabilah, kemudian kita serbu Muhammad pada malam hari. Tiap-tiap orang mesti memukulnya dengan senjata masing-masing sehinggalah ia mati. Dengan demikian seorangpun yang tidak akan ada yang tahu pembunuh yang sebenarnya. Apabila kerabat-kerabatnya menuntut diyat (denda), maka kita akan kumpulkan beberapa banyak harta dari semua kabilah, kemudian kita berikan kepada kerabatnya, maka kitapun akan selesai daripada tuntutan keluarganya dan terselamat dari pengaruh dakwah Muhammad ".

Apabila iblis mendengar pendapat Abu jahal, lalu iblis membenarkan pendapatnya, seraya berkata: " Benarlah engkau, dan sangat baik pendapatmu, Pendapat kamulah yang paling baik, dan pentadbiran kamulah sebaik-baik pentadbiran ".

Kumpulan seminar yang mereka adakan adalah bersatu hati untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, setelah itu majlis ditutup dan mereka pun bersurai.

Ketika itu malaikat Jibril datang kepada Nabi Muhammad dengan membawakan wahyu daripada Allah, sebagaimana ayat yang tertulis di atas. Kemudian malaikat Jibril berkata " Wahai Muhammad! Sesungguhnya Allah berkata kepadamu; Keluarlah engkau daripada kota Makkah dan berpindah ke kota Madinah. Sesungguhnya Akulah yang mentadbirkan sekalian rahsia. Janganlah kamu merasa dukacita, kerana sepuluh tahun yang akan datang akan ada kemudahan ".

Dalam syair dikatakan:

" Tiap-tiap sesuatu baginya ada waktu yang telah ditetapkan dan tadbir yang telah di tentukan.
Yang Maha menilik sekalian keadaan kitalah yang menjadi pemerhatinya.
Dan di atas pentadbiran (rencana) kita, hanya Allah lah yang menentukannya.

Setelah menerima wahyu daripada Allah, maka pada keesokan harinya Rasulullah SAW berbincang dengan sahabat-sahabatnya, baginda Nabi berkata: " Siapakah di antara kamu sekalian yang rela untuk menemaniku serta bersama-sama denganku? Kerana sesungguhnya Allah telah memerintahkan daku pergi ke kota Madinah ".

Mendengar kata-kata Rasulullah yang demikian itu. maka Abu Bakar segera menyahut seraya sambil berkata: " Saya Ya Rasulullah ".

Kemudian Nabi SAW melihat kepada sahabat-sahabatnya yang lain, dan berkata: "Siapakah di antara kamu yang sedia untuk menggantikan diriku di tempat tidurku pada malam ini? Dengan demikian aku akan bersamanya di dalam syurga ".

Ketika itu juga Imam Ali bin Abi Talib berkata: " Saya Ya Rasulullah, Aku rela menggadaikan nyawaku untuk menyelamatkan dirimu, kerana sesungguhnya aku adalah saudaramu, dan bapa kepada kedua cucumu serta suami bagi cahaya matamu ".

Diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah r.a. ia berkata: " Aku dengar Ali bin Abu Talib ketika itu bersyair dengan beberapa bait syair sedang Rasulullah SAW mendengarkannya. Inilah bait-bait syair Ali bin Abi Talib:

Sesungguhnya aku adalah saudara pilihan,
tidak ada keraguan lagi pada nasabku (keturunan).
Datukku dan datuk Rasulullah SAW adalah sama. (pengelola ruang-satu darah keturunan)
Aku membenarkan kerasulannya,
di mana ketika semua manusia di dalam kegelapan, kesesatan, kesyirikkan, dan kesusahan hidup.
Segala puji bagi Allah dengan sebanyak-banyak syukur,
yang tidak ada sekutu baginya.
Yang bersifat baik pada hamba-hambanya
dan bersifat kekal untuk selama-lamanya.

Mendengar dendangan syair itu, maka Rasulullah SAW tersenyum, seraya berkata:

" Benar engkau wahai Ali ".

Kembali pada kisah.
Kemudian Ali kw pergi ke tempat kediaman Rasulullah SAW dan tidur di tempat tidur Rasulullah SAW. Setelah itu datanglah orang-orang kafir berjaga di sekitar rumah Rasulullah SAW, lebih-lebih lagi di tiap-tiap pintu untuk keluar. Ketika itu iblis ada bersama-sama dengan orang-orang kafir. Tetapi Allah Maha Kuasa menjadikan mereka semuanya mengantuk dan lalai, sehinggalah mereka semua tertidur. Dan iblis juga turut tertidur, padahal selama ini iblis tidak pernah tidur sepanjang malam dan sepanjang siang, dan tidak akan pernah tidur sesudah hari itu untuk selama-lamanya.

Kesempatan baik itu tidak disia-siakan, maka Rasulullah SAW segera keluar bersama Saidina Abu Bakar ra. Keduanya dapat menyaksikan orang-orang kafir dalam keadaan tertidur sedangkan di sisi mereka lengkap dengan bermacam macam senjata dan pedang. Kemudian Rasulullah SAW mengambil tanah dan meletakkan di atas kepala mereka. Diriwayatkan pada waktu itu Rasulullah SAW membaca surah Yasiin ketika hendak melalui mereka. Tidak seorangpun dapat melihat pemergian Rasulullah SAW bersama Abu Bakar dengan sebab keberkahan Surah Yasiin.

Setelah Rasulullah SAW pergi daripada tempat itu, maka iblis laknatullah terjaga daripada tidurnya iapun segera membangunkan mereka semua seraya berkata: " Sesungguhnya Muhammad telah pergi, adakah tidak kamu melihatnya?". Bagaimanakah ia dapat meletakkan tanah di atas kepala kamu?"

Maka dengan segera orang-orang kafir itu bangkit dan mencari Rasulullah SAW di atas tempat tidurnya. Tetapi yang mereka jumpai hanyalah Imam Ali kw. Maka dengan nada yang sangat marah mereka bertanya kepada Imam Ali: " Di manakah Muhammad ?".

Jawab Imam Ali kw dengan tenang:
: Sesungguhnya Tuhan Yang Maha Tinggi membawa Nabi pilihanNya kepada mana-mana tempat yang Dia kehendaki daripada tempat yang tinggi. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Segala Rahsia dan Yang Tersembunyi, maka Allah tidak akan pernah tersesat dan terlupa. Oleh kerananya janganlah kamu cari Muhammad itu di atas bumi. Mungkin Allah telah menempatkannya pada tempat yang setinggi tingginya ".

Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawasanya beliau bersabda: " Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada malaikat Jibril dan Mikail: " Aku jadikan kedua kamu seperti bersaudara . Dan Daku berikan pada kamu umur yang lebih panjang daripada umur dunia, maka siapakah di antara kamu berdua yang mampu untuk membela sahabatnya dengan mengorbankan jiwanya sendiri.Keduanya memilih untuk kehidupan dirinya sendiri daripada berkorban jiwa untuk orang lain. Maka Allah berfirman kepada keduanya : " Tidakkah kamu berdua seperti Ali bin Abu Talib, yang Aku jadikan bersaudara di antaranya dengan Muhammad SAW, sehingga sanggup untuk tidur di tempat tidurnya Muhammad, demi menebus nyawa Muhammad sekalipun harus mengorbankan nyawanya sendiri. Oleh kerana itu turunlah kamu berdua ke bumi,, peliharalah Ali daripada musuh-musuhnya ".

Mendapat perintah daripada Allah, maka keduanya dengan segera turun ke bumi untuk menyelamatkan Ali daripada sekalian musuh-musuhnya. Adapun Jibril menjaganya di sisi kepala Ali, manakala Mikail pula memeliharanya dari arah sebelah kaki. Ketika itu Jibril berkata: " Bagus benar jika ada orang yang seumpama engkau wahai Ali bin Abu Talib. Sesungguhnya Allah membangga-banggakan dirimu kepada sekalian malaikat yang berada di langit ".

Semasa baginda Nabi SAW di dalam perjalanan menuju kota Madinah, ketika itu Allah SWT menurunkan wahyu menceritakan perihal orang-orang yang seumpama Ali. Allah berfirman:

Ertinya: " Setengah-setengah daripada manusia ada orang yang sanggup menjual (mengorbankan) dirinya untuk mengharap keredaan Allah. Maka Allah Maha Kasih pada sekalian hamba-hambaNya ".

Sekian. Semoga dengan ini kita memperoleh taufik dan hidayah daripada Allah.

No comments:

Post a Comment