Thursday, July 22, 2010

Berwasilah kepada Nabi s.a.w.


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empuanya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Al-Imam Al-Baihaqi rah. dan Al-Imam Ibnu Abi Syaibah rah. meriwayatkan dengan sanad-sanad yang sahih , bahawa :

"Khalayak ramai pada suatu hari ditimpa musibah kemarau pada masa khalifah Umar bin Khattab r.a.. Lantas Sayyidina Bilal Al-Harith r.anhu mendatangi kuburan Nabi s.a.w. seraya berseru "Wahai Rasulullah s.a.w., mohonlah pada Allah hujan untuk umatmu, kerana mereka sudah menderita".
Rasullah s.a.w. pun menemuinya dalam mimpi, memberitahu bahawa mereka akan dituruni hujan"

Yang menjadi dalil hukum dalam hadis ini, bukanlah mimpi didatangi Nabi s.a.w. kerana mimpi walaupun benar , tidak dapat dijadikan landasan hukum. Tetapi yang menjadi alasan di sini adalah sikap Sayyidina Bilal Al-Harith r.anhu dalam keadaan jaga dan sedar mendatangi kuburan Nabi s.a.w., memohon kepadanya supaya hujan turun.

Mendatangi kuburan Nabi s.a.w. dan meminta supaya hujan diturunkan, sedangkan Bilal r.anhu seorang tokoh sahabat terkemuka, adalah cukup menjadi dalil tentang boleh berwasilah kepada Nabi s.a.w. sesudah wafatnya.

Hadis ini mengandungi Tawassul, tasyaffu' dan istighatsah kepada Rasulullah s.a.w..

Menurut sebahagian Mufassirin, maksud Firman Allah s.w.t. pada surah Al-Baqarah ayat ke-35 yang bermaksud :

"Kemudian Adam menerima beberapa kalimat dari Tuhannya, maka Allah menerima taubatnya," adalah tawassul dengan Nabi s.a.w.


Al-Hafizh Al-Imam Al-Baihaqi rah. meriwayatkan dalam kitabnya "Dalailun Nubuwwah" dengan sanad yang sahih, dan dianjurkan oleh Al-Hafizh Al-Imam Al-Zahabi rah. supaya berpegang teguh kepadanya kerana mengandungi hidayah, hadis daripada Sayyidina Umar Al-Khattab r.anhu yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda :

"Tatkala Nabi Adam a.s. mengakui kesalahannya, dia berkata "Wahai Tuhan , saya mohon kepada-Mu bihaqqi (dengan kebenaran) Muhammad s.a.w., ampunilah dosaku!"
Allah s.w.t. berfirman :"Adam, bagaimana mungkin anda mengenal Muhammad padahal ia belum Kujadikan?"(Sedang Allah s.w.t. Maha Mengetahui)

Adam menjawab "Wahai Tuhan, sesungguhnya tatkala engkau menciptakan aku, kuangkat kepalaku, maka kulihat di atas tiang-tiang Arasy tertulis : La ila haillallah Muhammadurrasulullah
"Mengertilah aku bahawa Engkau tidak menyandarkan sesuatu ke nama-Mu, melainkan orang yang paling dikasihi makhluk."

Allah pun berfirman "Benar Adam, sesungguhnya Muhammad s.a.w. itu makhluk paling kasih sayang kepadaku. Apa bila anda memohon dengan berkat kebenarannya, maka sesungguhnya Ku ampuni dosamu. Dan kalaulah tidak kerana Muhammad, tidaklah kujadikan anda."

Hadis ini turut juga diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Hakim rah. dan disahihkan oleh beliau. Dan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tabrani rah., dengan tambahan "Dan dia adalah Nabi yang terakhir dari keturunanmu."

Al-Imam Al-Kabir Malik bin Anas r.anhu mengisyaratkan tawassul yang dibenarkan , kepada Khalifah Al-Mansur, ketika Al-Manshur mengerjakan haji dan menziarahi kuburan Nabi s.a.w., bertanya kepada Imam Malik r.a. ke mana harus menghadap bila berdoa, apakah menghadap kiblat atau menghadap ke kuburan Nabi s.a.w..

Al-Imam Malik r.anhu menjawab "Kenapa anda memalingkan wajahmu daripadanya? Dialah wasilahmu dan wasilah bapamu, Adam kepada Allah s.w.t.. Menghadaplah kepadanya dan mintalah syafaatnya, nescaya ia akan mensyafaatkanmu."

Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nisa' ayat ke-64 yang bermaksud:

"Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu mohon ampun kepada Allah dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."


Al-Qadih Iyaadh rah. menyebutkan kisah ini dalam kitabnya "asy-Syifa' "dengan sanad sahih, Dan Imam As-Subki rah. menyebutkannya dalam "Syifa' As-Siqam fi Ziarati Khairil Anam"
Al-Allamah Sayyid As-Samhudi rah. dalam "Khulashatul Wafa", Al-Imam Al-Qasthallani rah. dalam "Al-Mawahibul Laduniyyah", Al-Imam Al-Hafizh Ibnu Hajar rah. dalam "Tuhfatut Zuwar" dan dalam "Al-Jauharul Munazhzham".

Al-Imam Al-Hafizh Ibnu Hajar dalam "Al-Jauharul Munazhzham" menegaskan bahawa riwayat tentang Al-Imam Malik r.a. itu adalah benar, dan tiada yang membantahnya.

Menurut Al-Imam Az-Zarqani rah. dalam "Syarah Al-Mawahib", kejadian itu diriwayatkan oleh Ibnu Fahd dengan sanad yang Jaiyid, diriwayatkan juga oleh Al-Qadhi Iyaadh dengan sanad sahih, dan perawi-perawinya yang tsiqah (terpecaya).

Ditegaskan demikian, adalah untuk menolak anggapan kalangan yang tidak mempercayai hal itu dari Al-Imam Malik r.anhu.

Al-Imam Al-Mujtahid As-Subki rah. menegaskan bahawa berwasilah dan mohon pertolongan kepada Nabi s.a.w. itu, adalah bagus sekali, sebab sudah dillakukan oleh para nabi-nabi, orang salih, Ulama Salaf dan Khalaf, dan orang-orang awam, baik sebelum baginda dijadikan mahupun sesudah lahir, di alam barzakh, dan pada hari kemudian.

Menurut riwayat dari Al-Imam Al-'Atabi dan Al-Imam Sufyan bin Uyainah r.anhum, keduanya Ulama Salaf As-Soleh, tentang seorang Arab desa membaringkan tubuhnya di atas kuburan Nabi s.a.w.. Peristiwa ini menurut Al-Imam Al-Hafizh Ibnu Hajar rah. di dalam kitabnya "Al-Jauharul Munazhzham" berdasrkan riwayat sebahagian huffaz dari Abu Sa'id As-Sam'ani, dari Sayyidina Ali bin Abi Thalib kwh., bahawa sesudah tiga hari penduduk Madinah mengurukan Nabi s.a.w., seorang Arab desa membaringkan dirinya di atasnya dengan tenang. Menaburkan sebahagian tanahnya ke atas kepalanya, seraya bermohonkan:

"Wahai Rasulullah s.a.w., engkau telah bersabda , kami telah mendengar sabdamu itu. Engkau telah menerima dari Allah s.w.t. sesuatu yang telah kami terima daripadamu. Dalam ayat yang diturunkan-Nya kepadamu (surah An-Nisa' 64), Allah berfirman yang maksudnya,"Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati bahawa Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang."

"Saya telah menganiaya diriku, aku mendatangimu, mohon supaya minta ampuni dosaku kepada Allah s.w.t.."
Maka terdengar suara dari dalam kubur Nabi s.a.w. "Allah s.w.t. telah mengampunimu."

Hadis yang sama maksudnya dengan itu datang juga daripada Sayyidina Ali bin Abi Thalib kwh. menurut sumber yang lain. Dan diperkuatkan oleh hadis sahih yang menyatakan :

"Hidupku lebih baik bagi kamu, kamu dapat bercakap-cakap, ia pun dapat bercakap cakap dengan kamu. Kematianku lebih baik bagi mau, kerana amal-amal kamu diajukan kepadaku. Mana yang kulihat baik, akupun memuji Allah dan mana yang kulihat tidak baik, aku minta ampuni kamu."

Selawat dan Salam moga dilimpahkan Allah s.w.t. atas junjungan serta Sayyid kita Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah Tempatkan Junjungan kami di tempat yang Kau janjikan ...Amin) Beserta Ahlulbayt dan para sahabat r.anhum yang mulia lagi menyayangi akan Umat Nabi s.a.w. ini.

Dan Segala Puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan Empunya sekalian Alam, Tiada berlaku sesuatu melainkan dengan Kehendak-Nya, lagi Maha Mengatur , Maha Kuasa , Tiada Daya Upaya melainkan Allah Azza Wajalla, Dan Allah s.w.t. Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Allah s.w.t. jua Yang Maha Mengetahui...

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment