Thursday, July 22, 2010

Rabiatul Adawiyah - Wanita perintis cinta Ilahi





Rabiah telah memperluas makna atau lingkup cinta Ilahi. Ia dulunya mencintai Allah kerana mengharapkan syurgaNya, atau takut nerakaNya , sehingga ia selalu berdoa, " Oh Tuhan, apakah Engkau akan membakar hambaMu di dalam neraka, yang hatinya terpaut padaMu, dan lidahnya selalu menyebutMu , dan hamba yang selalu bertakwa padaMu?" Setelah menyedari, bahawa cinta seperti itu adalah cinta yang amat sempit, ia meningkatkan dirinya, sehingga ia luluh dalam cinta Ilahi. Ia mencintai Allah, kerana Allah patut dicintai, bukan kerana takut neraka atau mengharapkan syurgaNya. Dengan pendiriannya itu ia ingin mengatakan bahawa ia tidak ingin menjadi "Pekerja wanita yang tidak baik", seorang yang meninggalkan pekerjaan yang tidak baik, lalu melakukan kebaikan dengan mengharapkan ganjaran, iaitu syurga.

Jika bukan kerana syurga atau neraka, untuk apa seseorang itu menyembah Allah? Mengapa orang taat kepadaNya Kemudian hatinya yang bergelora dengan cinta dan kerinduan berseru, " Ya Allah, jika aku menyembahMu kerana takut pada nerakaMu bakarlah aku dengan api nerakaMu. Dan jika aku menyembahMu kerana mengharapkan syurgaMu, maka haramlah syurgaMu untukku. Tetapi jika aku menyembahMu demi mencintaiMu, maka limpahkanlah padaku ganjaran yang lebih baik. Berikan aku kesempatan melihat wajahMu Yang Maha Agung dan Maha Mulia ".

Yang menjadi harapan Rabiah hanyalah memandang wajah Allah Yang Maha Agung dan Maha Mulia dan merasakan kebahagiaan dengan berada di sisiNya pada Hari Berbangkit. Rabiah membayangkan andaikan syurga dapat dibakar dengan api neraka lalu api neraka disiram dengan air, sehingga dengan demikian tidak ada lagi syurga atau neraka , supaya dengan demikian tidak ada lagi syurga atau neraka, supaya dapat diketahui siapa hamba Allah yang hakiki, iaitu hamba yang mengabdi padaNya dengan seikhlas-ikhlasnya, tanpa mengharapkan syurga atau takut pada siksa neraka. Agar dengan demikian dapat diketahui siapakah yang menyembah Allah SWT, kerana Dia adalah Sang Khalik yang mampu memberikan kebahagiaan, tidak kerana takut pada azab, atau mengharapkan ganjaran.

Rabiah tidak menyembah atau mengabdi padaNya, oleh kerana pamrih. Oleh kerana itu, ia selalu berkata, " Ya Allah, jadikanlah nerkaka tempat bagi orang-orang yang membangkang, dan jadikanlah syurga bagi orang yang mentaatiMu. Namun, untukku cukuplah keredhaanMu sahaja ".

Al-Attar meriwayatkan, bahawa Rabiah selalu menangis sehingga orang-orang bertanya padanya, " Mengapa engkau menangis, apakah engkau menderita keranaNya?" Rabiah menjawab, " Oh nasib penderitaan dan sakit yang aku deritai tak seorang pun tabib mampu mengubatinya. Mereka tidak akan mampu menolongku menghilangkan derita ini, kecuali jika harapanku telah terwujud di alam yang lain iaitu ketika aku melihat wajahNya Yang Maha Maha Mulia ". Al-Kalabazi meriwayatkan ", sekelompok orang datang melihat Rabiah untuk menanyakan kesihatannya. Mereka bertanya, " Bagaimana keadaanmu?".

Rabiah menjawab, " Demi Allah , aku tidak tahu penderitaan yang aku derita sekarang ini. Aku merasa seolah-olah digoda oleh syurga, sehingga hatiku hampir tertarik pada syurga. Namun aku merasakan seolah-olah Tuhan mencela diriku".

Al-Munawi memaparkan dalam kitab Tabaqatnya, bahawa Sufian Ath-thauri pernah bertanya pada Rabiah, " Bagaimana sebenarnya hakikat imanmu?" Rabiah menjawab, " Aku mengabdi padaNya, bukan kerana mengharapkan syurgaNya. Kalau demikian aku seperti pekerja yang menyembah atau mengabdi padaNya kerana mengharap sesuatu ".

Rabiah mengkehendaki agar manusia mengenal Allah sebaik-baiknya. Kerana bila seseorang telah mengenal Allah, maka ia akan mencintaiNya, dan ikhlas mencintai dan mengabdikan diri padaNya, bukan kerana mengharapkan pahala , atau takut pada siksa nerakaNya. Mengenai hakikat hal ini terjadi suatu dialog antara Rabiah dan Sufian Ath-Thauri.

Rabiah : Bagaimana pendapatmu tantang sifat pemurah?

Sufyan : Menurut orang yang mencari keduniawian, pemurah berkaitan dengan harta. Dan menurut orang yang mencari akhirat, pemurah berkaitan dengan diri.

Rabiah : Engkau keliru.

Sufyan : Bagaimana pendapatmu mengenai pemurah?

Rabiah : Engkau menyembahNya kerana cintamu padaNya bukan meminta pembalasan atau ganjaran.

Pada suatu hari yang lain, Sufyan Ath-Thauri bertanya lagi pada Rabiah, " Bagaimana sebaiknya seorang hamba mendekatkan dirinya kepada Allah SWT? ". Rabiah menjawab, " Engkau tidak mengharapkan apa-apa, baik dari dunia atau akhirat selain Dia ". Rabiah memang terkenal kerana kecintaannya yang amat besar terhadap Allah SWT. Oleh kerana itu, ia selalu memohon rahmat dan ampunanNya seperti diungkapkan dalam sebuah sajaknya.

" Oh kekasihku, tidak ada yang kuharapkan selainMu,
Limpahkanlah rahmatMu pada orang-orang yang menghadapMu,
Oh harapan, ketenteraman dan kebahagiaan hatiku.
Hatiku hanya padaMu jua "

Pada suatu hari ada yang bertanya kepada Rabiah, " Bagaimana pendapatmu tentang cinta?" Rabiah menjawab, " Sukar menjelaskan apa hakikat cinta itu. Ia hanya memperlihatkan kerinduan gambaran perasaan. Hanya orang yang merasakannya dapat mengetahuinya. Bagaimana mungkin engkau dapat menggambarkan sesuatu yang engkau sendiri bagai telah hilang dari hadapanNya, walaupun wujudmu masih ada olah kerana hatimu yang gembira telah membuat lidahmu kelu ".


Rabiah memperlihat betapa cintanya pada Ilahi.

Kekasihku tidak ada yang menandingiNya
Hatiku hanya tercurah padaNya
Kekasihku tidak nampak padaku
Namun dalam hatiku tidak pernah lenyap


Ia pernah pula bersyair,

" Oh kegembiraan , tujuan dan harapanku,
Engkau semangat hatiku
Engkau telah memberikan kebahagiaan padaku
Kalau bukan kerana mencariMu
Tidak kujelajahi negeri-negeri yang luas ini
Betapa banyaknya limpahan nikmat kurniaMu
Cinta padaMu tujuan hidupku ".

Rabiah merupakan orang yang pertama yang mampu membuat pembahagian cinta sehingga lebih mendekat pada perasaan. Cinta menurut Rabiah ada dua macam, cinta kerana dorongan hati belaka, dan cinta yang didorong kerana hendak membesarkan dan mengagungkan. Rabiah mencintai Allah kerana ia merasakan dan menyedari betapa besarnya nikmat dan kekuasaanNya, sehingga cintanya menguasai seluruh relung hatinya. Ia mencintai Allah kerana hendak mengagungkan dan memuliakanNya.


Maha Suci Allah.

Engkaulah yang selayaknya disembah.
KepemurahanMu dan kasih sayangMu yang tak pernah putus-putus tiada dapat kubalas walaupun dengan seribu tahun pengabdian pun. Nikmat nafasku, nikmat udara yang dengannya ku bernafas, nikmat kewujudanku, nikmat kasih sayang dalam diriku dan jutaan nikmat lagi tiada tolok bandingnya adalah anugerahMu yang tiada ternilai.

No comments:

Post a Comment