Thursday, July 22, 2010

MENYAYANGI KELUARGA KEKASIH ALLAH SAW (Mesti Dibaca)


OLEH : ALEXANDARICAIRO


Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan salah satu tuntutan dalam agama kita. Benar. Hadis dan praktikal ulama-ulama Ahli Sunnah sangat menyokong kenyataan ini.

Tetapi ayat ini sering digunakan oleh pihak tertentu sebagai peluang untuk mengelirukan orang awam yang belum cukup masak dengan asam garam hal-hal agama demi membangkitkan rasa benci atau prejudis terhadap pihak lain. Hal ini sekaligus mewujudkan satu dunia permusuhan yang didasari masalah kejahilan. Kejahilan dari kesilapan seperti ini jika berterusan pasti membuahkan iklim yang negatif dalam masyarakat. Kesilapan itu mungkin dari kesilapan memilih sumber maklumat, kesilapan berfikir, menilai atau kesilapan menghukum. Kesilapan ini jika dirangkul oleh jiwa yang keras, bisa bertukar menjadi taasub membuta tuli. Bahaya.

Menjawab tidak, membiarkan begitu sahaja pun tidak. Itu saya. Namun sedikit terpanggil untuk berkongsi buah fikiran tentang bagaimana untuk mengamalkan wasatiah (kesederhanaan) dalam usaha memandu hati tatkala membuat sesuatu penilaian berkenaan satu-satu perkara secara adil dan cermat. Sedikit peringatan. Ada dalil bukan semestinya tepat cara penggunaan dalil itu. Ada hujah bukan bererti sesuatu kenyataan itu menepati realiti. Kadang-kala hujah tidak tepat, dalil pula tidak memenuhi kehendak kenyataan secara sempurna.

Sebelum melangkah ke butiran yang lebih jauh, kita harus berfikir untuk tidak silap dalam menyamakan atau membezakan. Misalnya, seorang lelaki makan nasi. Kemudian ada seorang perempuan makan nasi. Baik. Tidak wajar rasanya untuk anda mengatakan perempuan itu adalah seorang lelaki semata-mata kerana dia makan nasi. Benar. Kedua-duanya makan nasi. Tapi, bukan semudah itu menghukum perempuan itu adalah seorang lelaki. Hanya kebetulan ada persamaan ciri iaitu makan nasi. Namun harus diingatkan makan nasi bukanlah syarat untuk kita menghukum seseorang sebagai lelaki. Sedikit gurauan, kalau tiba-tiba ada seekor kambing makan nasi, apakah mahu juga dihukum kambing itu seorang lelaki???

Ini kerana nasi adalah makanan ruji dan jelas ia adalah dalil kepada keperluan kedua-duanya (lelaki dan perempuan) terhadap makanan tersebut. Hasilnya, makan nasi merupakan satu ciri persamaan, tetapi bukan ke tahap meyamakan lelaki dengan perempuan. Dengan kata lain, persamaan yang wujud adalah terbatas dan tidak sampai ke tahap menyamakan keseluruhan elemen yang wujud antara lelaki dan perempuan. Benar ada ciri persamaan, apapun jangan pula mengubah kedudukan klasifikasinya hanya kerana persamaan yang tidak pun mampu mengubah kedudukan klasifikasi asal.

Anda mungkin bersetuju kalau dikatakan seseorang itu sangatlah bodoh jika setiap kali dia menemui orang makan nasi, dia katakan itu lelaki. Jumpa lagi orang lain yang makan nasi, dia katakan itu lelaki. Sebab anda tahu makan nasi adalah ciri persamaan antara lelaki dan perempuan tetapi bukan ke tahap menyamakan dua jantina tersebut hanya dek makan nasi.


Habib Ali Al-Jufri, ulamak Ahlus Sunnah dari Bumi 'Yang diBerkati' Yaman


Mengikuti ceramah As-Sheikh Al-Habib Ali mengingatkan saya kepada satu hadis Nabi yang menggesa umatnya mengajarkan tiga perkara kepada anak-anak. Mencintaiku, kata Nabi, mencintai ahli keluargaku dan membaca Al-Quran. Saya memang sukakan dalil tetapi melihat musuh-musuh Islam juga menggunakan dalil dalam menyerang keluarga Nabi, saya cuba membuat sedikit pendekatan berbeza dengan anggapan, dalil boleh anda dapati dari sumber-sumber lain. Ini mungkin juga disebabkan saya teruja dengan kemantapan profesor-profesor Universiti Al-Azhar khususnya Mufti negara Mesir sendiri yang cukup bijak memberi daya pemikiran wasatiah yang konsisten di peringkat antarabangsa sekalipun ketika berhadapan dengan sesuatu yang dianggap sebagai dalil dari pihak lawan.

Secubit fakta. Dalam satu persidangan tariqah Al-Azamiah yang diadakan di Mesir baru-baru ini, As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti negara Mesir sendiri sebagai salah seorang panelis jemputan telah membuat kenyataan yang panjang lebar berhubung perbincangan mencintai ahli keluarga Nabi secara khusus. Beliau menyentuh sejarah, manhaj, peratusan persamaan, perbezaan, pemikiran dan sumbangan elemen mencintai ahli keluarga Nabi dalam mewujudkan kesepakatan antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam konteks masyarakat arab Mesir pada masa lampau dan kini. Persamaan satu elemen, iaitu mencintai keluarga Nabi memberi sumbangan yang besar mengamankan pertembungan Ahli Sunnah dan Syiah di Mesir satu ketika dahulu.

Seperti yang telah kita misalkan di atas, isu makan nasi. Begitu juga butiran cinta keluarga Nabi. Ia adalah satu titik persamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah tetapi bukan menjadi satu neraca untuk menghukum seseorang itu Syiah. Makan nasi adalah persamaan antara lelaki dan perempuan namun bukan neraca yang putus untuk membentuk hukum kepada klasifikasi tertentu dengan mudah-mudah. Mencintai keluarga Nabi mungkin merupakan syiar yang besar bagi golongan Syiah tetapi pada masa yang sama ia juga bukan suatu elemen yang dinafikan dalam ajaran Ahli Sunnah.

Jadi, menghukum orang lain sebagai Syiah hanya berdasarkan kecintaannya kepada keluarga Nabi adalah satu pendekatan yang boleh disifatkan sebagai kejam. Kejam kerana tanpa disedari, serangan berbentuk menghukum itu juga terkena kepada Ahli Sunnah. Seolah-olah serangan dihalakan kepada Syiah dan Ahli Sunnah sekaligus.

Lebih malang lagi jika orang yang dianggap intelek mempermainkan istilah ‘tongkat Ali’, ‘kacip Fatimah’ dan nama-nama ahli keluarga Nabi yang lain sebagai kayu ukur awal untuk ke peringkat menghukum orang lain sebagai Syiah. Paling kurang pun sudah pula pandai-pandai meragukan orang lain dengan andaian yang bukan-bukan. Ataupun syak itu ini dengan anggapan itu adalah hasil pengaruh Syiah. Inilah yang menjadi masalah. Masalah ini timbul dari orang yang cuba melabelkan dirinya ‘ahli sunnah’ dengan cara men‘syiah’kan orang lain.


Mufti Mesir As-Syeikh Ali Juma


Memetik kata-kata Mufti Mesir dalam persidangan tersebut, beliau berkata : “Titik-titik kesepakatan (persamaan) antara Ahli Sunnah dan Syiah itu lebih banyak berbanding titik-titik percanggahan (perbezaan). Tetapi di sana terdapat (segolongan) manusia yang sengaja mencetuskan fitnah (pertembungan) antara kedua-dua belah pihak”.

Beliau menambah : “Kita berjaya membawa mesej ini dalam persidangan kemuncak seperti ini........ apapun kita masih gagal membawa mesej yang disepakati ulama dan kepimpinan ini ke medannya yang sebenar. Jika kita berjaya membawa mesej ini ke negara-negara teluk, Lubnan, Iran, dan timur Arab Saudi, nescaya tidaklah mengalir darah-darah yang kita lihat hari ini...”. Beliau juga mengakui wujudnya perbezaan pendapat antara Ahli Sunnah dan Syiah dalam beberapa masalah seperti nikah mut’ah, memadukan seorang wanita dengan makcik sebelah bapanya, juga sebelah ibunya tetapi perselisihan-perselisihan itu hanya mewakili 5% sahaja.

Kenyatan-kenyataan yang dilemparkan oleh seorang ulama besar seperti beliau perlu diambil kira kerana di sebalik kenyataan itu, beliau banyak membuat kajian, perbincangan, pertukaran ziarah, pertukaran maklumat dan dialog-dialog rasmi atau tidak dengan Syiah. Apapun, di sini bukan saya mahu menekankan perbahasan tentang Syiah, tetapi mahu membuat penegasan bahawa mencintai ahli keluarga Nabi bukan hak milik Syiah semata. Juga bukan sesuatu yang dikesampingkan oleh Ahli Sunnah. Dan mencintai atau memuji ahli keluarga Nabi bukan sebab untuk kita mudah-mudah menghukum atau melemparkan tuduhan yang tidak bertanggungjawab kepada orang lain.

Dengan satu perbandingan yang lebih mudah, jika kita menjumpai seseorang yang sedang solat asar empat rakaat, apakah kerana itu kita menghukum dia sebagai Syiah? Konon-konon hujahnya ialah solat asar empat rakaat adalah amalan Syiah. Asal nampak sahaja seseorang solat asar empat rakaat, dia tuduh Syiah. Bukankah itu kejam? Kejam kerana tuduhan seperti itu dipandu oleh dalil yang jahil, maklumat yang salah, keciciran fakta, pemikiran yang tidak menyeluruh serta kesilapan yang dipandu oleh golongan intelek yang sengaja mahukan ketaasuban pengikut kepadanya.

Mungkin anda mengatakan tidak mungkin hujah seperti ini akan berlaku. Mana ada orang berhujah solat asar empat rakaat itu Syiah! Nas-nas tentang solat asar sangat jelas.

Itu kata anda. Tetapi, orang-orang sebelum kita juga mungkin tak terfikir adanya segolongan manusia yang menggunakan elemen kecintaan kepada keluarga Nabi sebagai neraca untuk mengheret orang lain ke label ‘Syiah’ walaupun nas-nas tentang mencintai keluarga Nabi ada dan jelas? Orang sebelum kita mungkin tidak terlintas, adanya manusia yang mengaku kononnya Ahli Sunnah cuba menimbulkan syak wasangka di kalangan orang awam terhadap isi-isi kitab yang menyebut kebaikan dan kemuliaan ahli keluarga Nabi dengan tuduhan ia adalah di bawah pengaruh Syiah. Ya. Generasi sebelum kita barangkali tidak tergambar kemungkinan kitab Al-Barzanji akan diserang dengan tuduhan ber‘elemen’ Syiah. Inilah sikap penyelewengan yang berselindung di bawah ‘tag’ Ahli Sunnah.

Kita perlulah jelas. Kita cintai ahli keluarga Nabi kerana sikap Nabi yang mencintai mereka. Kita menyebut-nyebut nama keluarga baginda kerana itu sikap baginda. Kerana perintah Nabi untuk mencintai mereka. Kerana teks selawat yang diajarkan oleh Nabi juga meraikan ahli keluarga baginda. Kerana dalam solat kita masih menyebut keluarga baginda. Dan memetik kata Mufti Mesir;- ‘keturunan Nabi ada sampai ke hari ini, dari selatan ke utara, Timur dan Barat, setiap tempat dan masa’.

Mencintai mereka adalah ajaran Ahli Sunnah. Cinta yang bukan membuta tuli, tetapi yang diiringi panduan Al-Quran dan sunnah. Ia adalah adalah juzuk yang tidak terpisah dari persoalan keimanan. Kalaupun ia syiar teragung Syiah, ia mungkin memang begitu. Terpulang kepada mereka. Walau apapun, mencari jalan menghukum orang lain sebagai Syiah hanya berdasarkan permasalahan cinta ahli keluarga Nabi, ia adalah perbuatan yang pasti sia-sia.

Sedikit mencelah keluar cerita. Elemen cintakan keluarga Nabi sebenarnya sangat memberi sumbangan keamanan di Mesir berdasarkan sejarah. Manhaj inilah yang sedang diusahakan oleh Al-Azhar ke peringkat antarabangsa melalui peranannya mewakili Ahli Sunnah. Peranan elemen ini telah terbukti memberi sumbangan besar kepada keamanan di Mesir. Lalu usaha ini sedang giat dilakukan oleh ulama-ulama Al-Azhar mengembangkan nilai positif tersebut ke seluruh dunia Islam. Kunjungan bekas Presiden Iran Mohammed Khatami ke Al-Azhar baru-baru ini yang disambut oleh Sheikhul Azhar, Dr Muhammad Sayyid Tantawi juga menjadi saksi akan kesungguhan Al-Azhar memanfaatkan elemen tersebut untuk mesej keamanan dan kemanusiaan.

Masuk semula ke ruang sembang. Mencintai ahli keluarga Nabi merupakan persamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah. Seperti contoh terdahulu, makan nasi adalah persamaan antara lelaki dan perempuan, solat asar empat rakaat adalah elemen yang sama antara dua pihak. Pada masa yang sama, mencintai keluarga Nabi bukan dalil/hujah/alasan/sebab/b
ukti untuk kita menghukum itu Syiah, ini Syiah, sana Syiah, sini Syiah, mengesyaki ke‘syiah’an seseorang atau melakukan pertuduhan dengan kaitan-kaitan yang belum pasti hitam putihnya.

Juga diingatkan, meskipun seseorang itu memang Syiah, ia bukanlah disebabkan dia mencintai ahli keluarga Nabi. Sejak bila pula ada ulama Ahli Sunnah yang mengatakan, siapa mencintai ahli keluarga Nabi, dia adalah Syiah? Dengan ayat yang lebih jelas, Syiah menjadi Syiah bukan dengan sebab mencintai keluarga Nabi.

Bahkan Mufti Mesir sendiri mengakui elemen kecintaan kepada keluarga Nabi merupakan kesamaan antara Ahli Sunnah dan Syiah yang pernah membentuk persefahaman di kalangan bangsa Mesir suatu ketika dahulu lalu membantu kelangsungan survival politik dan kemanusiaan. Persamaan inilah yang harus dimanfaatkan untuk keamanan dewasa ini pada masa yang sama kita perlu memahami bahawa mencintai ahli keluarga Nabi adalah tuntutan agama dan bukan memestikan seseorang itu dihukum Syiah.


Nota:-

Kenyataan-kenyataan As-Sheikh Ali Jumuah, Mufti Mesir diambil dari majalah At-Tasauf Al-Islami, keluaran bulan April, bilangan 340 - Kaherah.

Pengelola Ruang - Semoga dengan ilmu-ilmu yang bermunafa'at dan pesanan yang berharga dari Rasulullah SAW dapat mengembalikan umat di bawah satu landasan yang benar dan menyatukan kita di bawah ikatan Jamaah Ahlus Sunnah yang sebenar sebagaimana yang disarankan Rasulullah SAW.

Sebagaimana kunci yang diberi Nabi SAW atau tips untuk menyatukan kembali kita di bawah satu panji-panji adalah dengan kembalinya pemerintahan Khalifah Islam yang diredhai Allah SWT kepada mereka yang sebenarnya yang berhak yakni Ahlul Bait baginda SAW sebagai persiapan kita di ambang menanti kedatangan Imam Mahdi. Hairan ... dulu saya pernah terbaca satu luahan rasa seorang hamba Allah yang meluahkan kekesalan kerana dengan jatuhnya kekhalifahan Turki Uthmaniyah dan beliau beriya-iya supaya kekhalifahan Islam dikembalikan kepada Dinasti Uthmaniyah kembali..... Hairan lagi..Begitu banyak saranan daripada Hadis-hadis Rasulullah SAW tentang keutamaan Keluarga Baginda SAW dan hak-hak mereka namun kita masih mencari-cari dengan kaedah kita sendiri siapakah yang berhak untuk memegang tampuk kekhalifahan sedangkan pelbagai saranan telah Nabi SAW keutarakan sebagai pedoman umat baginda SAW namun kesemuanya dipinggirkan....Sebagai satu contoh, kita cuba sorot pembentukan kumpulan Hizbut Tahrir yang memperjuangkan supaya tertegaknya kembali kekhalifahan Islam. Bukan tujuan saya untuk memperlekehkan perjuangan yang beratas dasarkan mengembalikan kekhalifahan Islam namun mereka sepertinya sedang membina lebuhraya tetapi keretanya masih belum siap. Yang manakah yang lebih utama? Lebuhraya atau kereta?... Sama-sama kita fikir...

Namun yang pasti umat-umat Yahudi lebih bijak kerana mereka lebih mengenali Ahlul Bait Rasul SAW dan mereka lebih mengetahui inilah akan menjadi kunci bagi kejayaan dan kemenangan Islam kelak. Jadi tidak hairanlah sekiranya mereka sekarang ini mengongkong dan menindas negara-negara Islam dengan pelbagai cara demi untuk memastikan kekhalifahan Islam tidak akan kembali kepada Dinasti Muhammad ibnu Abdullah SAW dari keturunan Ibrahim Khalilullah A.S..

Kelak apabila kekhalifahan Islam dikembalikan kepada keluarga Rasulullah SAW, Islam diwaktu itu akan lebih cepat tersebar dan umat-umat agama lain akan dengan cepat menerima Islam kerana dakwah Ahlul Bait adalah dakwah mengikut acuan Rasulullah SAW sendiri, yakni dengan 'Dai yang menyampaikan kebenaran dengan penuh kasih sayang dan penuh hikmah'.



Sabda Nabi SAW:

Daripada Abu Sa’id Al Khudri katanya Rasululah s.a.w. bersabda, “Bala akan menimpa ummat ini sehingga seseorang tidak akan mendapati satu pun tempat perlindungan daripada kezaliman. Ketika itu Allah s.w.t. akan menghantar seseorang dari keturunanku dari ahli rumahku. Allah s.w.t. akan memenuhi bumi dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana sebelum itu bumi telah dipenuhi dengan kezaliman dan kekejaman. Penghuni bumi dan penghuni langit senang dengannya. Langit tidak akan menahan titisannya sedikitpun melainkan akan dicurahnya melimpah ruah. Bumi tidak akan menahan sedikitpun airnya melainkan akan dikeluarkannya sehingga orang-orang yang hidup berkata, “Kalaulah orang-orang yang telah mati ada bersama mereka! Dia akan hidup selama 7 tahun atau 8 atau 9 tahun.” (Musannaf Abdul Razak j.11 ms.372)

Ibnu Majah meriwayatkan daripada Abdullah Ibnu Mas’ud katanya: “Ketika kami berada di samping Rasulullah s.a.w. tiba-tiba dalam beberapa orang anak muda dari Bani Hasyim. Bila mereka dilihat oleh Rasulullah s.a.w. berlinanglah air matanya dan berubahlah air mukanya langsung kami bertanya, “Kami adalah ahli keluarga yang Allah s.w.t. pilih untuk kami akhirat melebihi dunia. Sesungguhnya ahli keluargaku nanti akan menghadapi berbagai-bagai ujian, pengusiran dan penghalauan sehingga datang dari pihak Timur bersama mereka bendera-bendera hitam. Mereka meminta kebaikan tetapi tidak diberikan maka mereka berperang sehingga mendapat kemenangan lalu diberikan kepada mereka apa yang dahulu mereka minta tetapi mereka tidak mahu pula sampailah mereka berikan bendera itu kepada seorang pemuda dari keluargaku. Ia akan memenuhi dunia dengan keadilan dan kesaksamaan sebagaimana mereka (penduduk dunia) memenuhinya dengan kezaliman. Sesiapa yang sempat bertemu dengan mereka maka hendaklah ia datang kepada kumpulan itu walaupun dalam keadaan mengengsot di atas salji.” (Sunan Ibnu Majah ms 299)

Nua’im bin Hammad meriwayatkan daripada Ali r.a. daripada Nabi s.a.w. sabda Baginda, “Mahdi itu adalah seorang daripada cucuku. Dia akan berperang mengikut sunnahku sebagaimana aku berperang mengikut wahyu”. (Ibid j.2 ms.74)


Insya Allah masanya pasti akan sampai....' Allah Ta'ala menciptakan alam dan isinya atas Sifat Rahman dan RahimNya (Pemurah dan PengasihNya), dan Nabi SAW menyampaikan agama Allah itu juga di atas dasar kemurahan hati dan kasih sayang baginda SAW ke atas semua manusia. Maka barang siapa yang menolak dakwah Rasulullah SAW itu adalah orang yang merugikan dirinya sendiri dan tidaklah Rasul SAW yang kerugian, kerana baginda SAW adalah insan yang 'kaya' dengan pelbagai kurniaan dan rahmat yang tak putus-putus daripada Allah SWT. Rasulullah itu laksana air yang penuh di dalam bekas, jika kita mengisi bekas yang penuh itu dengan air pun maka air akan kembali keluar daripada bekas itu ... Artinya walau sebanyak manapun doa, selawat dan puji-pujian kita tujukan kepada baginda SAW, maka kebaikan daripada amal baik itu terakhirnya akan berbalik kepada kita.


Senyum Kambing...... teringat peristiwa Iblis yang enggan sujud kepada Adam A.S. khalifah yang dipilih Allah SWT. Inilah pengingkaran YANG PERTAMA berlaku terhadap Allah SWT. Sedangkan dahulunya iblis adalah di antara Malaikat yang paling mentaati Allah SWT. Sebarang perintah Allah pasti akan dituruti, hanya setelah iblis diperintahkan Allah SWT untuk sujud kepada 'manusia' yang dipilih Allah SWT, sang iblis menjadi engkar. Dan kemudiannya iblis memohon kepada Allah SWT untuk menyesatkan manusia daripada 'Jalan Yang Lurus'. Motifnya sama, yakni supaya manusia mengikuti kesombongan Iblis itu tadi supaya tidak tunduk kepada manusia pilihan Allah.

Manusia-manusia yang disesatkan ini termasuk juga dari antara mereka-mereka yang mentaati Allah tetapi tidak mahu tunduk kepada manusia yang dipilih Allah, seperti umat Nabi Musa AS (Yahudi). Mereka taat kepada Allah tetapi setelah sesudahnya zaman Nabi Musa AS, mereka kemudiannya tidak mahu beriman kepada Nabi Isa AS. Seterusnya umat Nabi Isa AS (Kristiani), apabila diutuskan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia dan diperintahkan oleh Allah SWT supaya mereka beriman kepada baginda SAW, mereka (umat Kristiani) kemudiannya engkar. Begitulah demikiannya....Kesemuanya telah mengikut jejak iblis, yakni taat kepada Allah SWT namun tak menerima manusia yang dipilih Allah SWT. Manusia bukan sahaja diuji dengan banyaknya ibadat mereka kepada Allah SWT. Banyak dari antara umat Yahudi dan Kristiani yang lebih patuh dan taat dalam hal beribadat kepada Allah SWT, namun mereka akhirnya tersesat setelah gagal dengan satu ujian kecil daripada Allah SWT, walaupun ujiannya kecil,namun kesannya apabila mereka mengingkarinya akan menyebabkan mereka terputus dari Rahmat Allah Ta'ala.Begitulah akibat dari kesombongan mereka.

Tiap-tiap kisah di dalam Al-Quran itu bukanlah satu dongeng dahulu kala. Ceritanya berkekalan sehingga ke Hari Akhir, namun nama-nama seperti Qarun, Firaun, Abu Lahab dan lain-lainnya akan kembali hadir cuma dalam bentuk-bentuk atau wajah yang baru. Semoga saya sendiri terutamanya dan sahabat yang saya kasihi semua mengambil iktibar dari kisah-kisah di dalam Al-Quran Yang Mulia.

Dan semoga Allah terus memberikan hidayatNya dan terus membimbingi kita ke JalanNya Yang Lurus.


Sekian.

Selawat.

No comments:

Post a Comment