Monday, July 19, 2010

Hakikat Api Pada Iblis dan Pada Manusia


Disunting Oleh : Hasdi

Setelah mencipta manusia, Allah memerintahkan para penghuni langit yang terdiri daripada para malaikat untuk sujud kepada Adam AS. Termasuk dari kalangan para penghuni langit ialah iblis. Maka bersujudlah para penghuni langit semuanya kecuali iblis:


Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kepada Nabi Adam.”

Lalu mereka sekaliannya sujud melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia

dari golongan yang kafir. [al-Baqarah 2:34]


Mengapakah iblis enggan sujud? Dalam ayat 34 surah al-Baqarah di atas Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa sebab iblis enggan sujud ialah takbur. Apakah yang dimaksudkan dengan sikap takbur? Allah menjelaskannya dalam beberapa ayat lain. Para pembaca sekalian hendaklah memberi perhatian kepada penjelasan ini kerana mungkin sebahagian darinya ada pada diri kita sendiri tanpa disedari.



Takbur ialah sikap ujub.

Ujub ialah sikap yang merasa diri sendiri lebih hebat, lebih canggih dan lebih baik dari yang selainnya. Sikap inilah yang dimiliki oleh iblis sebagaimana ayat berikut:


Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu

daripada sujud ketika Aku perintahmu?”

Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan)

jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”

[al-A’raaf 7:12]



Takbur ialah sikap menghina orang lain.

Salah satu maksud takbur yang ada pada iblis ialah sikap menghina, sebagaimana dia menghina bahan-bahan yang menjadi asas penciptaan manusia:



Allah berfirman: “Hai Iblis, apa sebabnya engkau tidak turut

bersama mereka yang sujud itu?”

Iblis menjawab: “Aku tidak patut sujud kepada manusia yang

Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering,

yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

[al-Hijr 15:33]



Takbur ialah mengunggulkan akal (logik) di atas perintah Allah.

Apabila diperintah untuk sujud kepada manusia, semua penghuni langit sujud kecuali iblis. Oleh kerana sikap takbur yang ada pada dirinya, ia merasakan tidak perlu segera taat kepada perintah Allah. Sebaliknya hendaklah dinilai terlebih dahulu adakah perintah tersebut logik atau tidak.


Sebenar api adalah sifat-sifat yang merosakkan pada manusia yang diwarisi daripada Iblis. Iaitu makhluk yang pertama menderhaka kepada Allah SWT. Iblis adalah makhluk yang paling taat kepada Allah SWT, tetapi menjadi derhaka kepada Allah apabila dia disuruh taat kepada Nabi Adam AS yakni KHALIFAH Allah SWT.


Api inilah yang telah menyebabkan para Nabi dan orang-orang yang Soleh dibunuh dan diusir. Kerana Iblis takkan pernah tunduk pada manusia yang dikasihi Allah.

Malah Iblis ini memprotes kepada Allah SWT:

Iblis berkata lagi (kepada Allah): “Khabarkanlah kepadaku,

inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku?”

[al-Isra’ 17:62]

Dengan ketakburan ini menyebabkan Iblis diusir dari langit:

Allah berfirman: “Turunlah engkau dari (langit) ini,

kerana tidak patut engkau berlaku takbur di dalamnya;

oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina.”

[al-A’raaf 7:13]

Hendaklah kita sentiasa berwaspada terhadap empat sikap takbur yang dimiliki oleh iblis, iaitu ujub, takabbur, mengunggulkan logik atas wahyu dan mempersoalkan wahyu. Allah Subhanahu wa Ta'ala menjelaskan sikap-sikap tersebut tidak lain agar kita mengambil iktibar darinya dan menghindari diri daripada bersikap dengannya.



Iblis berkata: “Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (Hari Kiamat).”

[al-A’raaf 7:14]



Dalam tempoh tersebut, iblis secara khusus dan syaitan secara umum, berjanji akan bertungkus lumus mengganggu manusia dengan objektif utamanya:


Agar manusia menjadi sesat dari Jalan Yang Lurus:

Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:



(Iblis berkata): Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga Hari Kiamat,

tentulah aku akan menyesatkan zuriat keturunannya (manusia),

kecuali sedikit (di antaranya).

[al-Isra’ 17:62]



Sekian.

No comments:

Post a Comment