Thursday, July 22, 2010

Rahsia Di Sebalik Hari Ketujuh (Sabtu)

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.


Allah SWT berfirman ertinya:

" Tanyailah mereka daripada ahli negeri yang hadir di laut ketika mereka kembali pada hari Sabtu ".

Daripada Muslim bin Abdullah , daripada Said bin Jubair, daripada Anas bin Malik ra dia berkata " Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang masalah hari-hari yang tujuh ".

Baginda menjawab " Hari Sabtu dinamakan sebagai Hari tipu daya ".

Lalu sahabat bertanya "Mengapa dinamakan dengan demikian Ya Rasulullah? ".

Jawab baginda Nabi "Kerana hari itu orang Kafir Quraisy telah mengadakan tipu daya pada perjanjian Darrun Nadwah ".

Sebagaimana Allah berfirman ertinya: " Ketika orang-orang kafir mengadakan tipu daya kepadamu wahai Muhammad “.


Keterangan majlis ini:

Ketahuilah wahai manusia! : “ Bahwasanya orang yang memiliki Buroq, pemimpin pada Hari Kiamat, iaitu Rasulullah Muhammad SAW menamakan hari Sabtu itu adalah ‘Hari Tipu Daya’, sebab telah berlaku pada hari itu tujuh puak telah mengadakan tipu daya, iaitu:

1. Kaum Nabi Nuh AS berusaha melakukan tipu daya terhadap Nabi Nuh, akhirnya dibinasakan oleh Allah dengan ribut taufan, dan air yang dicurahkan sekaligus dari langit.

2. Kaum Nabi Saleh berusaha melakukan tipu daya terhadap Nabi Saleh. Akhirnya Allah telah membinasakan mereka sekaliannya.

3. Saudara-saudara Nabi Yusuf berusaha untuk memperdaya (membinasakan) Nabi Yusuf, kerana merasa dengki, apabila mereka mengetahui tentang takwil mimpinya Nabi Yusuf, iaitu bulan dan bintang sujud pada Nabi Yusuf. Akhirnya saudara-sudaranya mendapat celaan daripada Allah.

4. Kaum Nabi Musa AS berusaha melakukan tipu daya terhadap Nabi Musa . Akhirnya Allah kembalikan tipu daya mereka dan mereka dihinakan.

5. Kaum Nabi Isa AS berusaha melakukan tipu daya terhadap Nabi Isa. Akhirnya mereka dihalau oleh Allah dan dihinakan.

6. Puak-puak kafir Quraisy berusaha untuk melakukan tipu daya terhadap baginda Nabi. Maka Allah menimpakan azab dan siksa terhadap mereka semasa di dunia. Kemudian siksa di alam kubur. Selepas itu disiksa di Hari Kiamat dengan siksa api neraka yang amat dahsyat.

7. Bani Israil berusaha untuk mengadakan tipu daya dengan larangan Allah. Akhirnya dirubah wajah-wajah mereka dan dilaknat oleh Allah. Di bawah ini diterangkan kisah-kisah tipu daya tersebut.

Dipetik dari Kitab : Rahsia di sebalik 7 hari
Penulis : As-Syeikh Abi Nasir Muhammad



Ulasan oleh pengelola ruang,

Pengajaran :

Hari ketujuh adalah hari ketika para penentang Rasul-rasul mengadakan muslihat mereka untuk melanggar perintah-perintah Allah dan menentang Rasul-rasul yang diutusNya. Peristiwa-peristiwa ini bukanlah sekadar sejarah-sejarah umat yang terdahulu. Yang pasti peristiwa ini akan berulang-ulang kerana Iblis kerjanya amat licik. Ia membuat kita terbuai dengan angan-angan kita, terbuai dengan amal kita yang kita pandang indah, tetapi amalan kita itu tidak memberi sebarang manafaat bagi diri kita.

Sebenarnya peristiwa umat Bani Israil ditukar menjadi kera serta diusir itu adalah natijah yang pasti akan berlaku pada diri manusia bila mana mereka berkhianat atau mengadakan tipu daya terhadap para Rasul, . Maka akan bertukarlah sifat ‘Insan’ yang Sebenarnya, seperti sifat diri Rasul itu sendiri menjadi sifat ‘Haiwani’ gelap dan tiada cahaya petunjuk dan terusirlah dari rahmat Allah SWT di dunia maupun di Hari Akhirat seperti di dalam Firman Allah di dalam Al-Quran:

Ertinya:

57:9. Dialah yang menurunkan kepada hamba-Nya ayat-ayat yang terang supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Penyantun lagi Maha Penyayang terhadapmu.

dan Firman Allah, Ertinya:

‘ Manakala mereka telah melampaui batas dari apa-apa yang telah ditegahkan pada mereka, maka Kami berkata; Jadilah kamu menjadi kera-kera yang hina “.

Oleh itu, marilah kita bertafakur yakni sama-sama berfikir dan marilah kita sama-sama mentaati dari segala titah dan perintah Allah SWT dan Rasulullah SAW dan menerima perintah itu dengan penuh keredhaan bahkan penuh keikhlasan.






Sekian . Semoga kita memperoleh taufik dan hidayah daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment