Thursday, July 22, 2010

Mutiara zuhud


Daripada Al-Hasan bahawa Rasulullah SAW katilnya adalah baju hujan dan bantal bertampal-tampal yang dipenuhi sabut.

Daripada Ibnu Abas bahawa Rasulullah SAW didatangi Umar Al-Khattab ra dan baginda tidur di atas tikar yang telah membuat bekas atau kesan pada sebelah badannya , maka Umar berkata kepadanya: Wahai Nabi Allah bagaimana kalau saya ambilkan katil yang lebih empuk daripada ini? Baginda kemudian bersabda: " Perumpamaan saya dengan dunia seperti perumpamaan orang yang menaiki kenderaan yang berjalan pada musim panas kemudian berteduh di bawah pohon sejenak di siang hari, kemudian berehat dan meninggalkannya."

Daripada Aisyah ra bahawa Nabi SAW mempunyai dua helai baju buatan negeri Qatar yang sudah lusuh dan kasar.

Abu Muslim Al-Khaulani berkata: Zuhud di dunia bukanlah dengan mengharamkan apa yang dihalalkan dan membuang harta, melainkan zuhud di dunia adalah kamu lebih percaya dengan apa yang ada di sisi Allah daripada apa yang ada di tanganmu dan apabila kamu terkena musibah, maka kamu akan lebih mengharapkan pahala musibah itu dan kebaikannya kalau itu tetap bagimu.

Rasulullah SAW bersabda: Lihat kepada orang yang lebih rendah daripada kalian dan janganlah melihat kepada orang yang di atas kalian agar kalian tidak mencela nikmat Allah kepada kalian.

Daripada Abu Huraurah, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: Kekayaan itu bukan kerana banyaknya harta melainkan kekayaan itu kerana kayanya jiwa (hati).

Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kalian mengharap mati, kerana sesungguhnya di antara kebahagiaan hamba adalah panjang umurnya dan diberi kurnia oleh Allah berupa taubat.

Daripada Muhammad bin Ishaq: Orang-orang di kota Madinah sering mendapatkan rezeki yang mana mereka sendiri tidak mengetahui daripada mana rezeki tersebut . Ketika Ali bin Husain r.a. wafat, terputuslah rezeki yang biasa mereka perolehi pada malam hari tersebut.

Mubarak bin Said berkata kepada kami, daripada Manshur tentang Firman Allah SWT:

".... dan janganlah kamu melupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi..."

Kenikmatan dunia bukanlah harta benda dunia, tetapi adalah USIA yang diberikan Allah SWT kepada kita sebagai bekal untuk kembali ke alam akhirat.

Daripada Yunus bin Maisarah bin Halis ia berkata: Telah tertulis pada Lauh Mahfuzh yang ada padaNya: " Sesungguhnya saya adalah Allah , tiada Tuhan selain Aku; Pengasih, Penyayang, Maha Pengasih dan mempunyai Sifat kasih. Rasa kasihKu melebihi marahKu. MaafKu melebihi siksaKu, dan Aku izinkan salah seorang daripada 333 orang yang datang untuk memasukkannya ke dalam syurgaKu."

Daripa Auza'i ia berkata: "Saya mengubati lidah saya selama 20 tahun, dan kini ia telah lurus."


Khalid bin 'Umair berkata: Utbah bin Ghazwan berpidato. Ia membuka pidatonya dengan memuji Allah SWT, kemudian ia berkata: " Ketahuilah....... sesungguhnya dunia ini telah ditakdirkan akan berakhir dan musnah. Hanya sedikit yang tersisa daripada dunia ini, sebagaimana sisa air yang kalian minum daripada cawan-cawan kalian. Sesungguhnya kalian akan berpindah kepada satu dunia yang tiada BATASnya, maka pergilah ke sana dan bawalah kebaikan yang boleh kalian bawa. Ada yang berkata bahawa jika sebuah batu dijatuhkan ke dalam neraka Jahanam, selama 70 tahun batu tersebut tidak akan mencapai dasar neraka tersebut, dan demi Allah neraka itu akan dipenuhi oleh manusia, tidakkah kalian hairan? Ada juga yang berkata bahawa jarak di antara satu pintu syurga dengan yang lain adalah 40 tahun. Kelak lubang-lubang pintu tersebut akan dipenuhi mereka yang masuk syurga. Saya, adalah orang yang ketujuh daripada tujuh orang bersama Rasulullah SAW, yang pada waktu itu dan tidak seorangpun di antara kami yang memiliki makanan , tetapi kami tetap gembira. Pada waktu yang lain saya hanya memiliki sebuah kain panjang, Maka saya potong kain tersebut menjadi dua , sebelahnya saya berikan kepada Saad; saya dan Saad kemudian memakai kain dengan potongan kain tersebut. Setiap kami yang hidup kini telah menjadi seorang pemimpin daripada pemimpin sebuah negeri. Oleh kerana itu saya berlindung kepada Allah SWT, semoga saya tidak menjadi orang yang besar di mata sendiri tapi kecil di mata Allah SWT. Setiap datang masa kenabian, maka ia akan diakhiri dengan lahirnya kerajaan , dan kamu tidak akan lihat itu semua terjadi pada pemimpin kita."


Wallahua'lam.

No comments:

Post a Comment