Thursday, July 22, 2010

TOK KU PALOH - Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus(1817M – 1918M)


Nama penuh Tok Ku Paloh ialah Engku Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus. Saiyid Abdur Rahman al-Aidrus juga mempunyai beberapa nama gelaran, yang paling popular ialah Tok Ku Paloh. Gelaran lain ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Tok Ku Paloj juga pernah menjadi Ahli Mesyuarat Kerajaan sekali gus merupakan penasihat sultan pada zaman Sultan Zainal Abidin III.

Ayahanda Tok Ku Paloh pula adalah Sayyid Muhammad bin Zainal Abidin Hussain bin Mustafa al-Aidarus yang juga lebih dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar Syaikh al-Ulama Paduka Indera pada zaman pemerintahan Baginda Omar. Tok Ku Paloh merupakan anak kedua daripada perkahwinan Tok Ku Tuan Besar dengan isteri pertamanya iaitu Hajjah Aminah. Tok Ku Paloh mempunyai beberapa orang adik-beradik. Ada yang seibu sebapa dan ada juga yang berlainan ibu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Sayyid Zain al-Aidrus yang digelar dengan Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus digelar Tuan Ngah Seberang Baroh, Sayyid Mustafa al-Aidrus yang digelar Tuan Dalam dan Sayyid Hassan yang dikenali Tuan Senik Parit. Adik-beradiknya selain yang disebut itu ialah Sayyid Abu Bakar atau digelar dengan nama Tuan Embong Solok atau Tuan Kecik, Sayyid Abdul Kadir yang dikenali sebagai Engku Sayyid Syaikh Aishadat dan Sayyid Hussain juga digelar Tuan Muda Wakaf. Manakala adik beradik perempuannya pula terdiri daripada Tuan Nik, Tuan Hitam, Tuan Senik, Tuan Puteh, Tuan Mariam, Tuan Saripah dan Tuan Wook. [1]

Tok Ku Paloh dilahirkan kira-kira pada tahun 1236H/1817M di Cabang Tiga iaitu berhampiran dengan kawasan Masjid Tok Ku di Cabang Tiga. Beliau hidup dalam zaman pemerintahan lapan orang Sultan silih berganti dan beliau juga mempunyai pengaruh yang kuat semasa zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Oleh kerana Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus atau Tok Ku Paloh berasal daripada keturunan ‘Sayyid’, maka sudah menjadi satu tradisi keturunan itu lebih mengutamakan usaha mempelajari ilmu-ilmu daripada orang yang terdekat dengan mereka. Ayah beliau, Sayyid Muhammad al-Aidrus atau Tok Ku Tuan Besar, pula merupakan seorang ulama besar yang mempunyai kedudukan tertinggi dalam urusan hal ehwal Islam di negeri Terengganu. [2]

Sehubungan itu, Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus telah belajar pelbagai bidang ilmu daripada orang tuanya sendiri. Hampir semua orang yang menjadi ulama di Terengganu pada zaman itu memperoleh ilmu melalui jalur daripada ulama-ulama yang berasal dari Patani. Sayyid Abdur Rahman al-Aidrus, selain belajar daripada ayahnya, juga berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin al-Fathani atau Tok Syeikh Duyung. Manakala Tok Ku Tuan Besar dan Tok Syeikh Duyung bersahabat baik dan sama-sama belajar daripada Syeikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani di Bukit Bayas, Terengganu semasa zaman remaja mereka. [3]

Tok Syaikh Duyong amat menyayangi Tok Ku paloh kerana anak muridnya itu amat taat, alim, warak dan mempunyai ciri-ciri ketokohan dalam bidang keagamaan dan memiliki karamah. Selepas itu, Tok Ku Paloh melanjutkan pelajarannya di Makkah. Di sana beliau bersahabat dengan Syaikh Muhammad Zain bin Mustafa al-Fathani, Syeikh Abdul Qadir bin Abdul Rahman al-Fathani, Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Nik Mat Kecik al-Fathani yang juga merupakan anak kelahiran Sungai Duyung Kecil, Terengganu dan ramai lagi. Antara orang yang menjadi guru mereka di Makkah ialah Sayyid Ahmad bin Zaini Dahlan dan Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki. [4]

Tok Ku Paloh sangat arif tentang ilmu tasawuf dan tarekat. Dalam hal ini, beliau telah mengarang kitab dan risalah mengenai persoalan kerohanian. Setelah berada di Makkah selama 10 tahun, Tok Ku Paloh pulang sebagai seorang tokoh ulama besar, seorang yang amat warak dan juga terkenal sebagai pemimpin kerohanian yang mengembangkan tarekat Naqsyabandiyyah. [5]

Setelah pulang dari Makkah, Tok Ku Paloh telah memulakan pengajarannya di masjid peninggalan ayahnya di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Ini merupakan langkah awal beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat sebelum melangkah kepada kegiatan yang lebih mencabar, bukan sahaja dalam bidang pentadbiran dan pemerintahan, malah berjihad menentang kemungkaran dan penjajahan British. [6]

Istana Tokku Paloh Al-Aidrus


Selepas itu, Tok Ku Paloh telah berpindah ke Kampung Paloh dan terus memusatkan aktivitinya di sana sehingga Kampung Paloh didatangi orang daripada pelbagai jurusan, bukan saja dari sekitar Kuala Terengganu, tetapi juga dari Kelantan, Pahang dan Patani. [7] Di Paloh, beliau telah meluaskan lagi pengajarannya dan mula dikenali sebagai Tok Ku Paloh setelah dikurniakan kawasan Paloh oleh Sultan Zainal Abidin III. [8]

Tok Ku Paloh mengajar ilmu agamanya di sebuah surau berhampiran rumahnya yang akhirnya dikenali sebagai “Surau Tok Ku”. Semenjak itu, Kampung Paloh menjadi tumpuan ramai dan kebanyakan murid-muridnya terdiri daripada penduduk kampong di sekitarnya, malah ia menjadi masyhur ke seluruh Nusantara. Di antara anak murid Tok Ku Paloh ialah Sultan Zainal Abidin III, Haji Abdur Rahman Limbung, Tuan Haji Muhammad Shafei Losong, Sayyid Saggaf bin Sayyid Abdul Rahman (Engku Kelana), Haji Dollah Langkawi, Haji Muhammad Syam Pahang, Sayyid Abu Bakar (Tuan Embong) dan Sayyid Akil (Tuan Pengeran Engku Seri Bijaya Sura).[9]

Tok Ku Paloh ialah seorang ulama yang mempunyai darah kepahlawanan yang tulen dan beliau tidak takut menanggung risiko tinggi dalam perjuangan demi mempertahankan Islam dan bangsa Melayu. Beliau melindungi pejuang-pejuang Islam dan Melayu yang bermusuh dengan penjajah Inggeris pada zaman itu. Semangat jihadnya sungguh indah, menarik dan ada hembusan segar seperti yang diriwayatkan oleh Muhammad Abu Bakar:

“Dalam Perang Pahang, penentang-penentang British yang dipimpin oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau hampir-hampir menyerah diri setelah mengalami tekanan daripada kerajaan. Pada Mei 1894, mereka menghubungi Tok Ku Paloh, dan mendapat simpati daripada ulama tersebut. Ini bukan sahaja memberi nafas baru kepada perjuangan mereka, tetapi mereka juga diberi perlindungan di Paloh serta diajar ilmu untuk menentang musuh mereka di Pahang. Hugh Clifford dalam pemerhatiannya mengatakan Tok Ku Paloh telah menyeru pahlawan-pahlawan itu melancarkan perang jihad. Hasil semangat baru yang diperoleh daripada Tok Ku Paloh, serta penambahan kekuatan, pasukan pahlawan menjadi lebih besar dan tersusun.” [10]

Tok Ku Paloh sangat berpengaruh terhadap murid dan saudara ipar beliau iaitu Sultan Zainal Abidin III. Beberapa pandangan dan nasihat Tok Ku Paloh kepada Sultan Zainal Abidin III tentang pentadbiran kerajaan banyak persamaan dengan surat-surat dan puisi Syeikh Ahmad al-Fathani kepada SultanTerengganu itu. Semasa Tok Ku Paloh dan Sultan Zainal Abidin III masih hidup, Inggeris tidak berhasil mencampuri pentadbiran negeri Terengganu. [11]

Tok Ku Paloh wafat pada bulan 1 hb Zulhijjah 1336 H/ 7 hb September 1918 M dan dimakamkan di tanah perkuburan “Makam Tok Ku Paloh” yang terletak berhampiran dengan rumahnya dan suraunya.[12] Pemergian beliau bukan sahaja dirasai oleh penduduk Kampung Paloh, malah turut dikongsi oleh seluruh penduduk negeri Terengganu. Ketokohan beliau amat sukar dicari ganti dan belum juga ditemui setakat ini iaitu setelah hampir satu abad pemergiannya. Sesudah itu, tepat pada 24 Mei 1919 M barulah Inggeris dapat mencampuri kerajaan Terengganu.

Sebagai ulama yang aktif, Tok Ku Paloh tidak ketinggalan menghasilkan beberapa buah kitab. Di antaranya, kitab Dhiya’ ‘Uqud ad-Durratain dan kitab yang diberi judul Ma’arij al-Lahfan yang bermaksud tangga orang yang sangat dahaga untuk naik kepada hakikat-hakikat pengenalan. Ia merupakan sebuah kitab yang mengandungi intisari ilmu tasawuf dan tarekat.[13]

Begitulah perjuangan Tok Ku Paloh yang begitu gigih menegakkan kalimah Allah di bumi Terengganu Darul Iman dalam pelbagai bidang kehidupan ummah sebagai seorang ulama, pentadbir, penasihat dan juga seorang pejuang yang berani untuk agama, bangsa dan negara.



[1] Rosli Mahmud et. al (1999), Ke Arah Mengimarah Masjid sebagai Pusat Kegiatan Penduduk. Kuala Lumpur: Universiti Teknologi Malaysia. H. 25-26.

[2] Mohd Nor bin Jusoh (2006), Pengajaran Tafsir Al-Quran di Masjid: Kajian Di Daerah Kuala Terengganu (Tesis M.A. yang dikemukakan untuk memperolehi Ijazah Sarjana di Jabatan Al-Quran dan al-Hadith, Bahagian Pengajian Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada tahun 2006).h. 65.

[3] Muhammad Abu Bakar (1991), Ulama Terengganu: Satu Sorotan. Utusan Publications & Distributors. h. 180.

[4] Wan Mohd Shaghir Wan Abdullah (2006), “Tok Ku Paloh Al-Aidarus Pejuang Islam dan Bangsa Melayu” dalam Bicara Agama, Utusan Malaysia, 18 September 2006, h. 18.

[5] Mohd Nor bin Jusoh (2006), op. cit., h. 68.

[6] Ibid.

[7] Muhammad Abu Bakar (1991), op. cit., h. 181.

[8] Mohd Nor bin Jusoh (2006), op. cit., h. 68.

[9] Ibid., h. 70-71.

[10] Muhammad Abu Bakar (1991), op. cit., h. 184.

[11] Wan Mohd Saghir Abdullah (2006),op. cit., h. 18.

[12] Mohd Nor bin Jusoh (2006), op. cit. h. 68.

[13] Muhammad Abu Bakar (1991), op. cit., h. 181.

No comments:

Post a Comment