Sunday, July 18, 2010

Cinta Sejati Hanya Hak Allah

Cinta Sejati Hanya Hak Allah

Kitab: Al-Mahabbah, Asy-Syauq wa Al-Redha (Rindu, cinta dan redha)
Pengarang Al-Imam An-Nawawi Rahimullahu Anhu

Berikut adalah petikan Kitab karangan Imam Nawawi.
Imam Nawawi RA adalah ulama Mazhab Syafi'e yang termasyhur. Dan semua bahasa adalah dari terjemahan Arab ke bahasa Melayu. Dan tiada 'pindaan' langsung, harap maklum

Sesungguhnya orang yang mencintai selain Allah, tanpa dihubungkan kepadaNya sama sekali, maka kecintaan itu hanya terjadi disebabkan kebodohan dan kekurangannya mengenali Allah secara dekat. Mencintai Rasulullah SAW juga sangat terpuji. Sebab kecintaan itu sebenarnya merupakan bukti kecintaan kepada Allah. Begitu pula cinta ulamak dan orang-orang yang dicintai, jelas dicintai pula. Rasulullah SAW adalah orang yang dicintai.

Semua itu kembali pada pangkal cinta, kerana itu tidak boleh malalui yang lain. Tidak ada zat yang amat dicintai secara hakiki oleh orang-orang yang mempunyai pandangan hati, kecuali Allah SWT sahaja. Tidak ada yang berhak dicintai selain Dia. Penjelasannya dikembalikan pada sebab-sebab yang berjumlah lima itu. Perkara yang telah kami bahas bahawa ia menjadi besar dalam hak Allah SWT sama sekali tidak ditemukan pada hak yang lain. Kecintaan itu sesungguhnya Mutlak menjadi hak Allah.

Tetapi perwujudannya boleh disalurkan melalui hak lain, niat dan usaha. Ia, secara murni adalah kiasan, tidak memiliki hakikat. Manakala hal itu diyakini, terbukalah bagi setiap orang yang mempunyai pandangan hati. Bertentangan sekali dengan apa yang diangankan oleh orang-orang yang berakal lemah berhati lembut. Kerana itu mustahil mereka mencintai Allah secara hakiki. Jelaslah bahawa keyakinan itu memutuskan dirinya: tidak akan mencintai seorang pun selain Allah SWT.

Tentang sebab-sebab pertama adalah: Kecintaan manusia atas dirinya sendiri, kedudukannya, kesempurnaan dan kelamaan masa wujudnya. Sebaliknya manusia tidak menyukai kehancuran, kematian, kekurangan, dan penyusutan kesepurnaan. Inilah yang dikehendaki oleh setiap makhluk hidup. Tidak pernah terlukiskan bahawa perkara-perkara itu terlepas sama sekali dari manusia. Inilah perkara-perkara yang mengharuskan puncak kecintaan kepada Allah.

Kerana orang yang mengenali dirinya dan mengenali Tuhannya pastilah memahami bahawa tidak ada wujud yang berasal dari zatnya sendiri. Perwujudan zatnya, kelamaan masa wujud dan kesempurnaan wujudnya, hanyalah berasal dari Allah, kembali kepada Allah dan dengan Allah. Dialah Pencipta yang mewujudkan diriNya. Dialah Yang Menghidupkan diriNya. Dialah Yang Menyempurnakan wujudNya dengan bentuk sifat yang sempurna. Dialah yang membentuk sebab-sebab yang menghubungkan kepadaNya dan menjadikan hidayah sebagai perantara perhubungan yang digunakan.

Kalau tidak , dari segi zatnya, seseorang tidak akan wujud (ada) dengan zatnya. Bahkan ia terhapus (Hilang) sama sekali. Kalaulah bukan kerana anugerah Allah untuk mewujudkan dirinya, sejak lahir pertama sekali ia telah binasa kembali. Kalaulah bukan kerana anugerah Allah untuk mempertahankan dirinya,tentulah tidak akan sempurna setelah wujud. Kalaulah bukan kerana anugerah Allah untuk menyempurnakan dirinya, tentulah tidak akan terbentuk.

Dengan demikian tidak ada sesuatu pun yang mampu wujud sendiri kecuali kerana kekuasaan Allah Yang Maha Hidup Yang Berdiri Sendiri. Selain Dia maujud bersandar denganNya. Jika seorang yang arif mencintai zat dan wujud zatnya, tentulah mengambil manfaat daripada yang lain. Secara pasti ia menyukai (cinta) perkara yang bermanfaat bagi wujudnya dan mampu mempertahankan kedudukannya, jika diketahui Dia adalah Pencipta Yang Maujud dan Pembentuk Yang Kekal, Mampu berdiri sendiri dan mampu Mewujudkan yang lain. Kalau ternyata dia tidak mencintaiNya, hal itu disebabkan kebodohan dan ketidaktahuannya kepada Tuhan yang menciptakan dirinya.

Mahabbah (rasa cinta) adalah sebuah makrifat. Ia akan hilang disebabkan ketiadaan makrifat. Ia akan menjadi kuat kerana menguatnya makrifat dan akan melemah dengan lemahnya makrifat. Kerana itu Hasan al-Basri mengatakan: Barangsiapa mengenali dunia nescaya akan berzuhud.

1. Hakikat rasa Cinta
Bagaimana cara menerangkan: orang yang mencintai dirinya sendiri tetapi tidak mencintai Tuhannya, padahal Allah yang mewujudkan dirinya?

Sebagaimana diketahui, orang yang tertimpa terik matahari ketika memilih tempat yang teduh, terpaksa menyukai pohon-pohon yang menyebabkan adanya keteduhan. Setiap perkara wujud yang disandarkan pada kekuasaan Allah SWT, posisinya seperti tempat teduh yang disandarkan pada pohon-pohon. Sinar disandarkan pada matahari. Jadi semua perkara berasal dari jejak kekuasaanNya dan perwujudan semua perkara itu mengikuti wujudNya.

Sebagaimana adanya sinar mengikuti matahari, dan adanya teduh mengikuti pohon-pohon. Contoh ini boleh dibenarkan jika disandarkan menurut anggapan awam. Kerana mereka gambarkan bahawa sinar merupakan jejak matahari, terpancar daripadanya dan wujud oleh matahari, maka penggambaran ini salah. Kerana bagi orang-orang yang telah terungkap pandangan hatinya, mereka boleh menyaksikan secara jelas, bahawa sinar itu bermula daripada kekuasaan Allah yang sengaja diciptakan semasa terjadinya penghadapan antara matahari dan benda-benda yang rendang (tebal).

Sebagaimana sinar matahari, sifat, bentuk dan gambarnya, juga didapati dari kekuasaan Allah (qudrah Allah) SWT. Tetapi tujuan daripada perumpamaan itu hanyalah untuk memperjelas pemahaman. Kerana itu anda jangan mencari hakikat di sana.

Jadi kalau kecintaan manusia pada dirinya merupakan suatu kepastian, kecintaannya pada Zat yang mengadakannya pertama sekali dan mempertahankan hidupnya untuk kedua kali, baik menurut asalnya, sifat, zahir, batin, akhlaknya, juga menjadi keharusan jika hal itu difahami. Begitu pula orang yang terlepas dari kecintaan itu, kerana dia terlalu disibukkan dirinya, syahwatnya dan kelalaiannya dari Tuhan sebagai penciptanya. Ia tidak mampu mengenali Tuhan sebenar-benarnya. Pandangannya terpotong oleh syahwat dan perkara-perkara yang dirasakannya. Padahal ia menyaksikan semua perkara yang ada, kedudukannya menyamai baha'im (haiwan ternak) dalam hal bersenang-senang dan bebas di sana.

Tanpa mengetahui rahsia alam malakut, hal mana buminya tidak dapat dirasakan kecuali orang kedekatannya mempunyai kesamaan tingkat dengan para malaikat. Dengan tingkat kedekatan itu mereka dapat menyaksikan sifat-sifat malaikat, sementara dataran alam kebinatangannya semakin berkurang sehingga maksima.

2. Membantu orang yang dicintai

Adapun sebab-sebab kedua, kecintaan kepada orang yang berbuat baik kepadanya. Maka ia dibantu dengan memberikan sebahagian harta, berbicara lembut kepadanya, mudah memberi pertolongan kepadanya, dibantu menghadapi musuh-musuhnya, sedia menjadi pembela orang yang ingin berbuat jahat kepadanya, membuka semua kesempatan yang mempermudah dirinya memperoleh bahagian rezekinya, serta kecenderungan kepada diri sendiri, anak-anak, bahkan kaum kerabatnya. Sebab ia amat dicintai.

Contoh seperti itu yang mengharuskan dirinya : tidak mencintai sesiapapun selain Allah. Seandainya dia benar mengetahui, nescaya menyedari bahawa Zat yang paling berbuat baik kepada para hambaNya, sama sekali tidak dapat dihitung. Kerana tidak ada satu cara penghitungan pun yang mampu membatasi bentuk-bentuk kebaikan Allah.

Secara jelas Allah berfirman bermaksud:

" Kalau kamu berusaha menghitung kenikmatan yang diberikan Allah, nescaya tidak akan mampu menghitungnya ".
(Ibrahim:34)

Kebaikan dari manusia sesungguhnya tidak dapat dilukiskan, kecuali dengan suatu keterangan. Kerana itu yang disebut Zat yang berbuat baik hanya Allah SWT. Kami hendak menerangkan permasalahan itu dengan latar belakang orang yang memberi suatu kenikmatan kepada anda, berupa bermacam-macam kekayaan dan kedudukan. Pemberian itu supaya anda gunakan sesuka hati anda sendiri. Kalau anda mengira kebaikan itu berasal daripadanya, itu salah. Sebab kebaikan dianggap sempurna hanyalah didukung kekayaan, kemampuan menguasai harta dan permintaannya supaya mereka memberikan harta kepada anda.

Tetapi siapa yang memberi nikmat atas keterciptaannya. Siapa yang menciptakan harta kekayaan, menciptakan kehendaknya, siapa yang menciptakan kemudahannya. Siapa pula yang menyebabkan anda cinta kepadanya, siapa yang memalingkan wajahnya kepada anda lalu memasukkkan dalam hatinya bahawa kebagusan agama atau dunianya menyebabkan berbuat baik kepada anda? Kalau semua itu bukan perbuatan Allah, sama sekali anda tidak akan diberi secebis harta kekayaannya.

Ketika Allah memberi kekuasaan kepadanya untuk menyeru dalam dirinya, bahawa kebagusan agama atau dunianya yang dipraktikkan dengan memberikan hartanya kepadamu, jelas hal itu kerana dipaksa memberikan. Ia tidak mampu menentang kehendakNya. Jadi Zat yang berbuat baik dalam hal hal ini adalah Zat yang memaksa orang itu melakukan sesuatu kepadamu dan memberi kekuatan kepadanya untuk berseru yang membangkitkan paksaan untuk berbuat. Tangannya hanya jadi perantara yang menyampaikan kebaikan itu berdasarkan kebaikan Allah kepadamu pemilik tangan itu sendiri dipaksa berbuat demikian. Sebagaiman dipaksanya air mengalir mengikuti salirannya.

Apabila anda menyakini kebaikan orang itu bermula dari dirinya sendiri, bukan sebagai perantara yang menyampaikan, jelas pandangan anda itu salah menurut hakikat permasalahannya. Sebab suatu kebaikan tidak dapat dijelaskan dari seseorang, kecuali pada dirinya sendiri. Adapun kebaikan kepada yang lain, maka mustahil bermula dari sesama makhluk.

Kerana seseorang tidak akan sudi memberikan sebahagian hartanya kecuali ada maksud tertentu, supaya dia memperolehi sesuatu. Maksud sesuatu pada konteks ini, mungkin memperolehi balasan dari hari akhir kelak, yakni berupa pahala. Adapun untuk masa sekarang mungkin memperolehi balasan serupa, atau pun orang itu rela mengabdikan diri, atau memperolehi pujian, atau terkenal dermawan, atau berjaya menarik hati orang lain untuk mengikuti dan mencintainya.

Seperti halnya seseorang tidak mungkin membuang sebahagian harta kekayaanya ke lautan, kerana di sana tidak ada maksud yang ingin dicapai. Seseorang itu juga tidak akan memberikan sebahagian harta benda kepada orang lain, kecuali ada tujuan yang dikehendaki daripadanya. Keinginan itulah yang menjadi tujuan yang dikehendaki dan dicari. Jadi, diri anda dalam hal ini bukanlah yang dituju. Tetapi tangan anda hanya berfungsi sebagai alat baginya untuk memberikan sehingga keinginan itu tercapai. Misalnya, namanya dikenang, mendapat pujian, memeperolehi ucapan terima kasih, bahkan mendapat pahala.

Disebabkan oleh pemberian harta anda, maka menjadikan dirinya sesuai menghubungkan keinginan dirinya serta mendapat ganti, boleh berupa pemberian sebahagian harta yang seimbang dan yang lain. Tetapi kalau pemberian kembali itu tidak seimbang, sama sekali tidak mengurangi kekayaannya. Dengan demikiian dia bukan orang yang berhak menerima ucapan terima kasih (pujian bersyukur) dan dicintai. Pandangan ini paling tidak, dapat ditinjau dari dua segi:

a. Adanya dorongan

Ia memerlukan kekuasaan yang dilimpahkan Allah sebagai pendorong ke arah itu. Ia tidak mempunyai kekuasaan untuk menentang sedikit pun. Ia berjalan mengikut senario al-Amiir (Allah). Sesungguhnya dia tidak melihat perbuatan baik denagn menyerahkan pemberian al-Amiir kepada orang yang diberi.Sebab dari arah al-Amiir ia diharuskan taat dan mengikuti semua peraturan yang ditulisNya.

Ia tidak akan mampu menentangNya. Seandainya al-Amiir membiarkan dan bakhil kepadanya, tentu anugerah itu tidak diberikan. Demikian pula setiap kebaikan, seandainya Allah membiarkan dan bakhil kepadanya, hingga Allah menguasakan suatu pendorong kepadanya untuk memberikan sebahagiannya.

b. Adanya Balasan

Bahawa ia mendapat ganti, boleh jadi berupa pemberian sesuatu yang diberikan dari sisinya, atau disukai disebabkan pemberian itu. Sebagaimana seorang peniaga, tidak ada sesuatu kebaikan yang ditarik kembali, kerana penyerahan barang-barang miliknya disertai ganti (nilai tukar) yang lebih disukai daripada barangan yang diberikan kepada pembeli.

Begitu pula orang yang memberikan sesuatu yang mendapat ganti atau pujian, sanjungan atau pengganti-pengganti yang lain. Syarat penggantian itu tidak harus berupa material yang tampak oleh mata. Bahkan semua keuntungan itu pun dapat dikategorikan sebagai pengganti yang nilainya justeru lebih tinggi daripada harta kekayaan dan material-material lain. Jadi kebaikan itu ( menurut kacamata manusia) adalah kemurahan dan kemurahan itu dadalah pemberian haerta tanpa mengharapkan balasan yang diperolehi kembali oleh yang memberi. Perkara itu mustahil terjadi kecuali oleh Allah.

Hanya Dialah yang memberi kenikmatan kepada semua manusia di bumi beserta makhluk yang lain. Dia berbuat baik kepada mereka dan demi kepentingan mereka, tanpa mengharap balasan apa pun. Dia Maha Mulia dari segala keinginan. Jadi istilah "Pemurah" dan :Berbuat Baik" bagi manusia adalah dusta, paling tidak hanya satu kiasan. Bagi selain Allah makna "Pemurah" dan " Berbuat Baik" adalah mustahil. Suatu istilah ditolak secara umum oleh golongan hitam dan putih.. Hanya Dia (Allah) sendiri yang memiliki sebutan Al-Jawwad (Pemurah) dan Al-Ihsan (Berbuat Baik) serta Maha Pemberi.

Maka jika tabiat itu mencintai perbuatan baik, hendaknya orang arif jangan memberikan kecintaannya kecuali kepada Allah SWT. Keranan perbuatan baik dari selain Allah itu mustahil. Jadi hanya Dia sendiri yang berhak dicintai secara utuh. Adapun orang yang tidak arif memberikan cintanya kepada sesama manusia, disebabkan ketidakfahamannya. Yakni kerana tidak memahami makna hakikat perbuatan baik.

3. Suka Dengan Kebaikan Orang Lain

Kecintaan anda atas orang yang berbuat baik pada diri sendiri, walaupan kebaikannya tidak mengenai anda. Perkara ini juga diakui adanya menurut tabiat. Misalnya anda mendengar berita penguasa yang ahli beribadat, adil,alim, mudah bergaul dengan rakyat, bersikap lembut kepada mereka dan bersikap tawadhuk di hadapan mereka. Padahal tempat tinggalnya cukup jauh dari tempat anda. Di lain pihak anda mendengar berita, bahawa di sana ada seorang penguasa yang sombong, fasik, tidak mempunyai kepedulian kepada rakyat, bahkan cenderung bersikap zalim. Padahal tempatnya jauh dari tempat tinggal anda, tentu terdapat perbezaan dalam hati anda memberi penilaian kepada masing-masing penguasa tadi.

Terhadap penguasa pertama tentu terdapat kecenderungan mencintainya. Berbeza dengan penguasa kedua tentunya terdapat kebencian di hati anda. Kebencian itu disertai keyakinan atau ketiadaan perbuatan baik yang dilakukannya. Anda ragu penguasa yang pertama tidak dapat diharapkan kebaikannya. Sebaliknya anda merasa tenteram di bawah kepimpinan penguasa pertama, walaupun harapan anda terputus oleh jarak yang memisahkan anatara tempat anda dan negeri yang mereka perintah. Itulah kecintaan kepada orang yang berbuat baik dari segi kebaikannya kepada anda.

Begitulah pula tuntutan cinta kepada Allah bahkan menuntut orang supaya tidak mencintai selain Dia sama sekali, kecuali kerana perhubungan dengannya oleh sesuatu sebab. Sesungguhnya Allah adalah Zat yang berbuat baik kepada seluruh makhluk dan yang memberi anugerah kepada semua golongan makhluk.

Pertama, memeberi kecukupan kepada mereka. Kedua, memberi kesempurnaan dengan anggota tubuh badan beserta sebab-sebab lain yang menjadi keperluan mereka. Ketiga, memberi kesenangan dan kenikmatan dengan menciptakan sebab-sebab yang menjadi keperluannya, walaupun bukan berada dalam batasan yang memaksa. Keempat, memeberi keindahan atau kecantikan dengan beraneka perhiasan dan tambahan-tambahan lain yang berada di dalam batasan-batasan perhiasan mereka, tetapi berada di luar batas keperluannya.

Beberapa contoh perkara bersifat penting (keperluan asas dari anggota badan) adalah: Kepala,jantung, liver. Sedangkan beberapa bahagian anggota badan yang diperlukan sebagai pembantu (Al-Muhtaaj) misalnya mata,tangan dan kaki.

Tambahan keindahan menghiasi badannya misalnya: Dua lekuk kening yang serasi, bibir yang berwarna kemerah-merahan, dua kelopak yang melindungi mata dan lain-lain di mana sekiranya komponen keindahan badan itu tidak ada, maka tidak sampai begitu membahayakan.

Di antara contoh perkara yang diperlukan manusia dan bersifat kenikmatan di luar anggota badan adalah: air, makanan dan sebagainya. Jenis-jenis itu merupakan keperluan mutlak (daruri atau penting). Adapun beberapa jenis perkara yang diperlukan manusia misalnya: Ubat-ubatan, daging, buah-buahan dan lain-lain.

Itulah tiga jenis perkara yang diperlukan oleh setiap manusia. Bahkan diperlukan pula oleh setiap tanaman dan setiap jenis makhluk hidup, mulai dari penguasa tinggi hingga rakyat jelata. Jadi Dia sebenarnya yang disebut Muhsin. Yang Berbuat Baik. Bagaimana bukan Allah yang dikatakan berbuat baik.

Perbuatan-perbuatan itu adalah kebaikan dari perkara-perkara baik hasil kekuasaanNya. Kerana Dia Pencipta kebaikan, pencipta orang-orang yang berbuat baik dan pencipta perbuatan baik, dan pencipta sebab-sebab perbuatan baik. Maka mencintai sebab-sebab selain Dia juga disebut suatu kebodohan. Barangsiapa memahami permasalahan itu tentu tidak akan mencintai sebab-sebab tersebut kecuali mencintai Allah.

4. Mencintai Segala Keindahan

Adapun sebab-sebab keempat adalah: mencintai segala keindahan. Bermacam-macam keindahan yang menyenangkan tidak diperolehi dengan cara sekilas memperhatikannya di sebalik rasa keindahan. Di bahagian depan telah kami kemukakan bahawa hal itu menyatu dalam tabiat.

Keindahan itu sendiri terdapat beberapa jenis. Satu: Keindahan gambar yang dapat dirasakan oleh pandangan mata telanjang. Dua, keindahan bentuk (rupa) yang tersembunyi di batin, yang hanya dapat dirasakan melalui pandangan batin.

Bentuk yang pertama dapat dirasakan oleh semua manusia termasuklah anak-anak, bahkan haiwan. Bentuk kedua hanya dapat dirasakan khusus oleh orang-orang yang memiliki ketajaman hati. Mereka tidak dapat disamakan dengan orang-orang yang tidak memahami apa jua pun.

Setiap keindahan pasti disukai oleh orang yang mampu meraskan keindahan itu. Jika keindahan itu dapat dirasakan melalui hati, bererti ia menjadi perkara yang dicintai hati. Salah satu contoh adalah; kecintaan kepada Nabi dan ulama serta orang-orang yang memiliki kemuliaan tinggi dan akhlak utama. Hal itu jelas sekali tergambar menyertai perubahan bentuk wajah dan semua anggota badan. Itulah bentuk hati yang bagus. Indera tidak dapat menembusinya.

Indera memang dapat merasakan bekas kebaikan yang keluar daripadanya serta menunjukkan hal itu. Hingga apabila hati menunujukkan kecenderungan padanya, hati mencintainya. Orang yang mencintai Rasulullah SAW dan Abu Bakar Siddiq atau Imam Syafi'e Rahimullah, sekali lagi ia tidak mencintainya kecuali kerana suatu kebaikan yang ada pada diri mereka. Kecintaan itu bukan disebabkan kecantikan bentuk tubuhnya. Malahan kebaikan perbuatan-perbuatan itu merupakan sesuatu bekas yang keluar daripadanya serta menunjukkan kenyataanya itu.

Barangsiapa melihat hasil karya seorang pengarang yang bagus, atau keindahan bait-bait syair dari seorang penyair, bahkan melihat keindahan hasil karya tukang pahat atau hasil karya pakar bangunan, terbukalah bentuk-bentuk keindahan yang tersembunyi yang dihasilkan oleh perbuatan itu. Yang mana hasilnya kembali pada pengalaman dan kemampuan berkarya.

Apabila perkara yang telah diketahui itu memiliki nilai lebih mulia, lebih sempurna keindahannya dan sempurna pula keindahannya dan sempurna pula keutamaannya. Jelas ilmu lebih mulia dan indah nilainya. Demikian juga perkara-perkara yang difahami adalah Allah. Jadi sudah pasti pengetahuan yang paling bagus dan paling mulia di situ adalah mengenali Allah secara lebih dekat.

Dipendekkan..
KeagunganNya mengagumkan pandangan orang-orang yang berakal. Menuturkan sifat-sifatNya, mampu mengunci lisan golongan orang yang mengenali secara dekat kepadaNya (Al-Arifiin). Kerana menyedari kelemahan mengetahuinya secara sempurna. Hingga nabi yang terakhir mengakui kekurangannya untuk memberikan penyifatan kepadaNya. Sebagaimana dikatakan Nabi Muhammad SAW dalam sebuah Hadisnya bermaksud:

" Kami tidak senggup menghitung berapa banyak sanjungan kepadaMu, sebagaimana Engkau menyanjung atas diriMu".

Abu Bakar As-Sidiq ra mengatakan: kelemahan untuk merasakan sesuatu yang dapat dirasakan adalah merasakan Zat yang tidak menjadikan jalan bagi makhluk untuk mengenaliNya, kecuali dengan kelemahan untuk mengenaliNya.

Menghairankan sekali orang yang mengingkari kemampuan mencintai Allah secara benar dan menganggapnya sebagai ungkapan majaz. Apakah orang akan mengingkari bahawa penyifatan-penyifatan itu seperti: yang indah, yang terpuji dan sifat yang teramat sempurna dan teramat bagus, bukan menjadi sifat-sifat Allah SWT.

Ataukah orang akan mengingkari sifat-sifat Allah SWT. Ataukah orang akan mengingkari bahawa perkara-perkara yang teramat sempurna, teramat indah, teramat bagus, dan teramat mulia, tidak dicintai (disukai) secara tabi'i oleh orang yang merasakannya.

Maha Suci Zat yang mendinding dari pandangan buta disebabkan cemburu terhadap keindahan dan keagunganNya untuk ditampakkan. Kecuali bagi orang yang telah ditetapkan kebaikannya. Iaitu orang yang dijauhkan dari fikiran yang tertutup dan membiarkan orang-orang yang rugi dalam kebutaan yang gelap serta mengalami kesesatan mereka ke sana ke mari berada dalam perkara syahwat baha'im (binatang). Tampaknya mereka melakukan tugas-tugas kehidupan di dunia, tetapi sebenarnya mereka melupakan akhirat. Alhamdulillah, namun sebahagian besar di antara mereka tidak mengetahui.





bersambung

No comments:

Post a Comment