Monday, July 19, 2010

Wahhabi menurut Al-Allamah Syaikh Ahmad Ibn Muhammad Zain Ibn Mustofa Al-Fathani r.anhu


Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati Kami, Kasihani Kami ...Amin

Amma Ba'du,

Fakir ingin berkongsi dengan saudara mengenai kenyataan seorang Ulamak tersohor Nusantara mahupun tanah Arab, guru Masjidil Haram, Mekkah Al-Mukarramah, Guru utama Tok Kenali, wali Allah yang tidak dipertikaikan sesiapapun, pengarang Kitab Tauhid tersohor "Faridatul Faraid fi Ilmi Aqaidul Iman",Al-Allamah Syaikh Ahmad Ibn Muhammad Zain Ibn Mustofa Al-Fathani r.anhu di dalam kitabnya "Hadiqah Al-Azhar wa Al-Riyahin", H: 169 -170.

Beliau menulis mengenai gerakan Wahhabi di dalam kitabnya ini.

"setengah daripadanya, fitnah To'ifah (kumpulan) Wahhabiyyah yang melampaui mereka itu hingga meruntuh mereka itu akan dua Tanah Haram (Makkanh Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah) yang mulia. Dan mereka itu satu kaum yang mempunyai mazhab yang jahat dan jalan yang sesat dan iktikad yang mudharat. Dan adalah yang menghantarkan mazhab mereka itu yang keji dan yang merengkuhkan dia, Muhammad anak Abdul Wahhab.

Asalnya daripada masyriq (Timur) daripada Bani Tamim dan adalah permulaan pekerjannya bahawasanya ia setengah daripada mereka yang menuntuti ilmu pada negeri Madinah Al-Munawwarah Sohibiha Afdhal Al Solah wa Al Salam. Dan adalah bapanya lelaki yang soleh , demikian lagi saudaranya (sulaiman). Dan adalah bapanya dan saudaranya dan sekalian guru-gurunya memfirasat mereka itu padanya, bahasanya lagi akan jadi daripadanya sesat dan menyesat dan zaigh (menyimpang) dan ilhad (menyeleweng) dari kerana barang yang diketahui oleh mereka itu daripada perkataan dan perbuatannya dan bantahan-bantahannya pada kebanyakkan daripada beberapa banyak masalah.

Maka adalah mereka (Ulama zamannya) itu menakut akan manusia daripada hampir kepadanya (Muhammad Ibn Abdul Wahhab), maka ditahqiq oleh Alah SWT akan firasat mereka itu.
Maka merengkuh ia bagi dirinya akan mazhab yang sesat dan menyalahi ia akan segala imam agama dan menyesat ia akan segala yang jahilin, dan :

1. mengkafir ia akan segala mereka itu yang tiada mengikut mazhabnya daripada mukmin.
2. Dan menghukum ia dengan syirik mereka yang berziarah akan kubur Nabi SAW dan Auliya' dan solihin, dan yang bertawassul dengan mereka itu.
3. Dan mengharam ia akan berselawat atas Nabi SAW dan beberapa iktikad yang lain daripada demikian itu.
4. Dan bahawasanya segala manusia telah kafir mereka itu daripada masa Hijrah enam ratus tahun hingga kepada masanya itu.

Dan ialah yang membaharukan bagi mereka itu akan agama Islam mereka itu. Dan mengarang ia bagi mereka itu beberapa risalah dan mendatang ia dengan beberapa ibarat dan beberapa dalil atas fahamannya yang sesat dan akalnya yang bebal, dan kesamaran ia dengan demikian itu atas kebanyakkan orang awam.

Maka mengikut setengah mereka itu akan dia, kemudian maka masuk ia kepada setengah daripada raja-raja negeri Masyrik (Timur) dan diam ia pada sisi itu menggaya gaya (seolah mereka orang alim) ia akan mereka itu hingga tertipu daya mereka(orang awam) itu. Maka menolong mereka(orang awam) itu akan dia dan tersebar mereka itu atas beberapa kampung dan negeri hingga memerang mereka itu akan negeri yang besar-besar, dan memilik mereka itu akan dua Tanah Haram yang mulia dan segala kampung-kampung keduanya. Dan meroboh mereka itu akan segala qubah tempat yang mulia-mulia dan kubur solihin, dan mengerasi mereka itu akan manusia atas masuk kepada mazhab mereka itu yang celaka, dan merapampas mereka itu akan segala barang yang di dalam qubahnya yang maha mulia SAW dan segala barang yang di dalam Ka'abah daripada segala perkakas dan perhiasan yang indah-indah, dan masuk mereka itu pada Makkah pada tahun seribu dua ratus dua puluh (1220H) , dan telah menghisor (mengepung) mereka itu akan Makkah hingga lapar ahlinya dan makan setengah mereka itu akan anjing. Kemudian masuk mereka itu akan dia dan memerintah mereka itu padanya tujuh tahun dan adalah pada masa itu Daulah Uthmaniah di dalam haru biru yang amat sangat.

Kemudian keluar titah daripada Sultan kepada Muhammad Ali Basya, Raja Mesir dengan suruh memerangi mereka itu. Maka diperangkan mereka itu hingga dibinasakan dan dihilangkan daulah mereka itu dan ditawankan raja mereka itu, yang bernama Abdullah ibn Sa'ud dan beberapa perdana menterinya dan dibawanya mereka itu ke Mesir, kemudian ke Istanbul, maka dijarakkan mereka itu kemudian dubunuhkan mereka itu.

Dan adalah beberapa peperangan ini dipermulaaannya pada masa Sultan Salim yang ketiga, dan kesudahannya pada masa Sultan Mahmud yang kedua yang lagi akan datang sebutannya. Inilah kisah mereka itu atas cerita ringkas. Wallahu a'lam.

Tamat...

Bagaimana? tidak percaya???? terpulanglah, kerana barangsiapa mengenali peribadi dan ketsiqahan Syaikh Wan Ahmad Al-Fathani r.anhu, sudah pasti akan beribu kali berfikir untuk menuduh Sayikh Wan Ahmad r.anhu yg merupakan pengarang kitab Matan Faridah sebagai pemfitnah, pendusta dan pembohong, Na'uzubillah.

Wallahu Yahdi ila sawaissabil...

Selawat dan salam sebanyaknya semoga dilimpahkan Allah s.w.t. ke atas junjungan besar kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. , (Ya Allah Tempatkanlah Junjungan kami di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan..Amin) Beserta para sahabat dan Ahlulbayt r.anhum yang sangat kasih mereka itu kepada umat ini. Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tiada Daya Upaya melainkan Allah s.w.t., Dan Allah jua yang memberi petunjuk dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui..

Jazakallah Khairan Kathira...(^_^)

Al-Faqir wal Haqir Ilallah,
Salim Azham (MSA)

No comments:

Post a Comment